Shahidan nafi ugut Irfan, anggap macam anak sendiri

19 hours ago 9

KUALA LUMPUR – Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau telah mengugut jaguh lempar cakra negara, Muhammad Irfan Shamsuddin.

Tegasnya, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang ancaman kepada atlet itu, malah menyifatkan Irfan sebagai ‘anak kesayangan’ dalam arena olahraga yang sentiasa disokongnya.

Sambil melafazkan sumpah, Shahidan menegaskan bahawa tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu tidak benar dan beliau mengesyaki wujud ‘pihak ketiga’ yang cuba melaga-lagakan mereka menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KOM Ke-22 yang akan berlangsung pada Ahad ini.

“Wallahi, wabillahi, watallahi, saya tak pernah cakap (ugut) seperti yang diperkatakan kepada dia. Irfan ini antara atlet kegemaran saya.

“Saya maafkan dia, mungkin ada pihak ketiga yang menjadi dalang. Saya lebih suka berdepan dengan orang yang ‘baling batu sembunyi tangan’ itu secara terus, bukan atlet ,” katanya dalam satu sidang media di Wisma MOM, hari ini.

Pada tengah hari tadi, Irfan tampil membuat pendedahan mengejut apabila mendakwa menjadi mangsa ugutan, tekanan emosi dan campur tangan daripada pegawai tertinggi KOM .

Dalam sidang akhbar khas itu, Irfan secara terbuka menamakan Presiden KOM, Shahidan sebagai individu yang menyumbang kepada tekanan berterusan terhadapnya sebagai atlet.

Mengulas lanjut, Shahidan menjelaskan bahawa pertemuan beliau dengan Irfan sebelum ini adalah untuk menyampaikan sumbangan peribadi atas kejayaan atlet itu memenangi pingat di Korea, dan bukannya untuk tujuan mengugut.

“Niat saya jumpa dia adalah untuk bagi hadiah (sumbangan) kerana kejayaannya. Sebagai bapa dalam sukan ini, takkan saya nak ugut anak saya sendiri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shahidan menyeru agar semua pihak tidak menjadikan atlet sebagai mangsa dalam perebutan jawatan menjelang pemilihan Ahad nanti.

Beliau turut memberi bayangan bahawa ‘drama’ yang berlaku ini adalah sebahagian daripada taktik kotor pihak lawan untuk menjatuhkannya, namun beliau bersedia untuk berdepan dengan sebarang cabaran.

Suasana menjelang AGM KOM dijangka terus hangat dengan Shahidan dijangka berdepan pertembungan empat penjuru pada pemilihan barisan kepimpinan KOM bagi penggal 2025-2029 pada 15 Jun ini.

Shahidan akan dicabar dengan bekas presiden merangkap Presiden Persatuan Olahraga Amatur Perak, Datuk Karim Ibrahim, Presiden Persatuan Olahraga Perak, Datuk Mark William Ling Lee Meng serta Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |