TRISHA Ooi antara pelakon meningkat naik yang kini menjadi buruan pengarah. Kemampuannya dalam menterjemahkan pelbagai watak termasuk antagonis sering meraih pujian ramai. Terbaharu, kehebatannya memegang watak orang kurang upaya menerusi drama Mah juga mengundang perhatian sehingga tular dalam media sosial.
Tidak mendabik dada dengan segala kejayaan yang dicipta sekarang, Trisha, 26, berkata, perjalanannya sebagai anak seni masih terlalu hijau dan banyak ilmu yang belum dipelajari.
Disebabkan sukakan cabaran, dia menerima setiap tawaran lakonan tanpa mengambil kira sama ada memegang watak utama mahupun sampingan.
Baginya, apa sahaja watak yang ditawarkan mempunyai cabaran yang berbeza.
“Selagi mampu dan boleh belajar, saya akan terima sahaja tawaran yang diberikan. Untuk jadi hebat, kita tak boleh berhenti belajar waima kerja sebagai pelakon.
“Saya masih terlalu baharu dalam industri ini, jadi tak masuk akal untuk saya menjadi individu yang sangat selektif, namun jangan terlalu tamak.
“Kalau ikutkan hati, macam-macam watak dan semua tawaran saya nak ambil cuma selalunya ada juga terpaksa tolak disebabkan kekangan jadual kerja,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Tambah pemilik trofi Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-33 itu, sikap tidak selektif juga sebagai pembuktian kemampuannya melakonkan pelbagai watak sekali gus memacu laju impiannya bergelar pelakon versatil satu hari nanti.
Dia juga mahu membuang pandangan skeptikal segelintir pihak yang melabelnya sebagai pelakon aksi.
“Saya okey kalau orang nak label sebagai pelakon aksi tetapi sebagai anak seni, saya tahu keupayaan diri. Disebabkan itu, saya akan terus mengambil peluang untuk buktikan bakat.
“Saya nak orang tahu bahawa Trisha Ooi bukan hanya boleh menumbuk atau menendang tetapi mampu menjayakan karakter sedih, psiko atau emosi yang kompleks,” katanya yang masih menyimpan impian untuk bergelar pengarah.
Rezeki semakin melimpah-ruah, pemilik nama penuh Reyshqa Aqiera Mohd. Nasron Ooi itu mengakui menerima pelbagai watak yang mencabar kemampuannya terutama selepas memenangi trofi FFM tahun lalu.
“Alhamdulillah, sebelum dapat anugerah, rezeki memang banyak tetapi selepas menang, banyak tawaran lebih mencabar yang hadir.
“Mungkin ramai penerbit, pengarah dan stesen televisyen (TV) mula nampak serta meneliti kemampuan saya.
“Kalau orang cakap semakin popular, itu adalah penilaian penonton sendiri. Saya cuma jalankan tugas sebagai pelakon, kalau orang nampak bakat saya, syukur dan terima kasih,” jelasnya.
Filem seram, penakut
Kini rancak menjalani penggambaran filem bergenre seram yang berkelas PG-18 berjudul Nar’sata: Sekutu Setan arahan Pierre Andre, Trisha mengakui gementar untuk menjayakan watak Balqis yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
Namun, bagi membuktikan keupayaan diri, dia berjanji akan memberikan 200 peratus usaha untuk watak tersebut.
“Pada awalnya bahkan sehingga kini rasa gementar kerana tanggungjawab untuk watak Balqis sangat besar.
“Tapi syukur dengan bimbingan Pierre dan barisan pelakon hebat lain yang turut menjayakan filem ini seperti ibu Khatijah Tan, Wan Hanafi Su serta abang Nam Ron, insya-Allah akan beri terbaik,” ujarnya.
Meski membintangi filem seram, dia mengakui dirinya merupakan individu yang penakut terutama berkaitan perkara mistik.
Jelasnya, sifat penakut itu juga antara faktor yang menyokong kepada keputusan untuk menerima tawaran filem terbitan Metrowealth International Group (MIG) itu.
“Saya seorang yang sangat penakut, dengan serangga pun takut.
“Tapi sebagai pelakon, kita perlu keluar dari zon selesa dan ini adalah cara saya cabar diri sendiri,” katanya lagi.
Selain Trisha, naskhah tersebut turut menampilkan Fadlan Hazim, Mawar Rashid, Imranul Effendy dan Aniq Suhair.