‘Saya rasa dah lama dibenci sejak persembahan di AJL39’

22 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Disifatkan sebagai penyelamat konsert Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite baru-baru ini, penyanyi Aina Abdul mengakui terharu namun enggan bersorak atas pujian yang diberikan.

Tahu keadaan sebenar, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, mendedahkan diva asal Indonesia itu sebenarnya tidak sihat pada malam konsert tersebut sehingga menjejaskan mutu persembahan.

“Saya tak mahu ulas tentang komen netizen. Bagi saya, agak mementingkan diri kalau saya raikan perkara itu sebab saya sangat idolakan Melly.

“Ramai tak nampak apa yang berlaku di belakang pentas, saya nampak sendiri keadaan Melly yang memang tidak sihat,” katanya kepada Kosmo! Online.

Dedah pelantun Kamu itu, Melly atau nama sebenarnya nama sebenar Meliana Cessy Goeslaw, 51, sudah beberapa hari kurang sihat sebelum konsert namun tetap tampil memberikan persembahan terbaik.

“Selama dua tiga hari dia bertarung dengan kesihatan. Tapi dia tetap cuba gembirakan semua.

“Niat saya dan Melly memang nak ‘sing-along’ bersama peminat pada malam itu, dan saya rasa kami berjaya. Saya doakan dia cepat sembuh, kembali berkarya dan terus menghibur,” luahnya.

Ditanya perasaan selepas persembahan malam itu seperti membuka mata ramai pihak terhadap bakat nyanyiannya, Aina tidak menyangka sekali gus merasai dirinya seperti dihargai semula.

Juara Anugerah Juara Lagu ke-37 itu menganggap komen positif yang diterima sebagai hikmah di sebalik ujian.

“Saya tak sangka orang boleh komen begitu. Saya rasa ramai tak suka saya sejak kemunculan di AJL39 lalu.

“Benda tu memang ganggu fikiran saya selama beberapa bulan. Sebab tu saya bawa diri ke negara seberang untuk mencari arah baharu untuk dapat semangat kembali berkarya.

“Maksudnya kesedihan kita sebelum ini tak sia-sia. Lambat-laun, hati yang tulus dan jujur tetap akan diterima,” luahnya pada sidang media program Raise The Star Malaysia, di sini, semalam.

Terdahulu, konsert Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite pada 31 Mei lalu menerima kecaman susulan nyanyian Melly disifatkan tidak menepati jangkaan penonton.

Bagaimanapun, kemunculan pemenang Anugerah Diva Terulung KNKV Viral Award 2024 itu sebagai penyanyi jemputan menerusi lagu Cinta dianggap sebagai penyelamat konsert tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |