
- Oleh NORLIA RAMLI
- 8 Ogos 2025, 12:00 pm
BALING – “Saya kesal sangat tak dapat selamatkan Farish masa dia tergelincir jatuh dalam sungai walaupun sempat peluk tubuhnya sebelum dia tenggelam.
Demikian luahan Razziq Iqram Shah Mohd Johan, 12, ketika ditemui di pinggir Sungai Kupang, semalam.
Razziq Iqram Shah berkata, sebelum kejadian itu dia dan rakan karibnya, Muhammad Farish Syazwi Mohd Shukri, 12, pergi memancing di tepi sungai tersebut yang masih dalam proses pembersihan dan penambakkan sungai kerana kerap dilanda banjir.
“Sebelum saya ke tebing sungai yang agak jauh sikit daripada tempat memancing itu kerana hendak buang air kecil saya pesan kepadanya supaya tidak turun ke dalam sungai itu.
“Tiba-tiba saya terlihat Farish sudah terkapai-kapai dalam sungai dan saya pantas terjun dan berjaya memeluk badannya serta menolaknya ke tebing sungai tetapi dia meronta serta menendang saya menyebabkan dia terlepas daripada pelukan,” katanya.
Menurutnya, dia cuba pula mengambil kayu dan menghulur kepada Farish tetapi rakannya itu tidak mencapainya kemudian terus tenggelam ke dasar sungai.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan lemas di sungai berhampiran Taman Mesra Ria, di sini kira-kira pukul 6.30 petang semalam.