KUALA LUMPUR – ECG Capital Sdn. Bhd. (ECG Capital) menetapkan sasaran untuk menarik 100,000 penyertaan baharu dalam Program Keahlian TemanCare (TemanCare) menjelang 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif ECG Capital, Asward Mahadzir berkata, usaha itu dalam memperluas jaringan perlindungan dan kebajikan kepada penjawat awam.
Jelasnya, sasaran itu dicapai berikutan peningkatan kesedaran dalam kalangan penjawat awam bagi mendapatkan perlindungan tambahan disamping menikmati pelbagai manfaat keahlian yang meningkatkan kualiti hidup.
“TemanCare merupakan program kerjasama dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bagi memastikan setiap penjawat awam memiliki perlindungan takaful untuk waktu kecemasan bagi diri dan keluarga.
“Melalui TemanCare, penjawat awam ditawarkan perlindungan takaful hayat sehingga RM500,000 yang ditaja jamin oleh Takaful Ikhlas Family Berhad (TIFB) disamping pelbagai manfaat keahlian lain dengan caruman bulanan bermula serendah RM25.
“TemanCare bertujuan mengubah persepsi penjawat awam mengenai takaful yang hanya memberi perlindungan sewaktu musibah dengan memberi pengalaman keahlian yang terbaik sewaktu sihat,” katanya pada Majlis Peyerahan Sijil Induk Takaful TemanCare oleh TIFB di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TIFB, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi serta Ketua Pegawai Agensi ECG Capital, Mohd. Hafizi Ahmad.
Mengulas lanjut, Asward berkata, setiap peserta TemanCare bukan sahaja dilindungi dengan pampasan kewangan takaful tetapi tetapi dapat menikmati kemudahan konsultansi doktor atas talian secara percuma.
Selain itu katanya, diskaun perbelanjaan melalui lebih 50 rakan niaga berdaftar serta program saringan kesihatan secara percuma setiap tahun.
“Program TemanCare adalah manifestasi kepada harapan Cuepacs untuk meningkatkan lagi kebajikan dan kualiti hidup penjawat awam.
“Sama ada ketika sihat atau ditimpa musibah sebagai usaha melindungi diri tanpa bergantung sepenuhnya kepada progam kebajikan yang disediakan oleh kerajaan,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE