Rugi jutaan ringgit ditipu pelaburan ‘orang mati’

3 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Seramai 1,500 orang mengalami kerugian jutaan ringgit selepas terpedaya skim pelaburan palsu berkaitan dana emas dan tunai luar negara bernilai puluhan bilion dolar.

Skim yang tidak berdaftar dengan mana-mana institusi kewangan itu kononnya sebagai pelaburan untuk membawa masuk harta milik seorang jutawan Indonesia yang telah meninggal dunia.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa-mangsa telah tampil membuat aduan kepada pihaknya.

Katanya, mereka dijanjikan pulangan lumayan dalam bentuk wang tunai dan aset selepas melabur dalam skim tersebut.

“Mangsa diminta membuka akaun korporat dan membayar ribuan ringgit kononnya sebagai syarat untuk menerima aliran dana dari luar negara.

“Modus operandi mereka termasuk menggunakan dokumen palsu berlogo institusi kewangan seperti Bank Negara Malaysia bagi meyakinkan pelabur,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Seorang mangsa dikenali sebagai Bie, 41, berkata, dia rugi RM2.2 juta setelah menyertai skim itu sejak 2019.

Menurutnya, dia mula curiga apabila dokumen-dokumen serta pulangan yang dijanjikan tidak diberikan.

Dakwanya, individu yang menjadi dalang skim ini menunjukkan kad Interpol dan kad tanda penduduk (KTP) warga Indonesia untuk meyakinkan pelabur.

“Mastermind skim ini kononnya bergelar Datuk Seri dan siap tunjuk kad Interpol serta KTP warga Indonesia untuk yakinkan kami. Saya telah buat laporan polis di IPD Ipoh, Simpang Pulai dan Ampang,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Hassan, 58, pula mendakwa, ejen-ejen skim itu atau dikenali sebagai ‘mandat’ menggunakan pendekatan agama untuk mempengaruhi mangsa.

Katanya, mereka sasarkan masyarakat kampung yang terdesak mahu mengubah nasib hidup mereka. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |