RM30 juta untuk transformasi media – Anwar

15 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta kepada pengamal media dalam usaha memperkasa transformasi digital industri kewartawanan di negara ini.

Menurut Anwar, peruntukan tersebut akan digunakan bagi tujuan latihan dan pendedahan kepada teknologi semasa, termasuk Kecerdasan Buatan (AI), agar pengamal media tidak ketinggalan dalam arus perubahan global yang pesat.

“Saya setuju apa jua cara, asalkan transformasi itu berlaku. Dunia kewartawanan tidak boleh ketinggalan dalam mengejar kemajuan teknologi seperti AI.

“Kita mesti menjamin keseimbangan antara perubahan digital dan prinsip etika kewartawanan,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Majlis penuh berprestij itu turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Dr. Zaliha Mustafa, dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Tambah Anwar, peruntukan itu adalah yang terbesar dalam sejarah negara yang pernah disalurkan kerajaan kepada golongan wartawan sejak zaman kemerdekaan.

“Alhamdulillah, saya ucap terima kasih dan tahniah kepada semua pengamal media. Jangan kita simpan PR (perhubungan awam) semata-mata, tetapi laksanakanlah tanggungjawab dengan integriti dan kecekapan,” katanya.

Tambah Anwar, cabaran utama dunia kewartawanan kini bukan lagi media arus perdana, tetapi media sosial yang mencabar nilai dan tradisi membaca masyarakat.

“Tokoh-tokoh wartawan harus bangkit. Untuk melakar sesuatu yang bermakna, kita mesti menyedari cabaran sebenar bukan sahaja dari segi teknologi, tetapi juga kepercayaan dan budaya masyarakat terhadap berita,” katanya.

Sambutan HAWANA 2025 turut dimeriahkan dengan kehadiran organisasi media antarabangsa seperti Al Jazeera, China Central Television (CCTV), Jiji Press, Kuwait News Agency (KUNA), Vietnam News Agency (VNA), The Jakarta Post dan MediaCorp dari Singapura.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |