‘Respect rakyat Sabah’, Lautan manusia bersolidariti untuk Zara

1 week ago 11

PETALING JAYA – Ribuan rakyat membanjiri beberapa kawasan daerah di Sabah malam tadi dalam satu perhimpunan aman bagi membela nasib pelajar tingkatan 1, Allahyarhamah Zara Qairina.

Perhimpunan yang diadakan di Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Semporna kira-kira pukul 8 malam itu jelas menunjukkan rakyat bersatu hati terhadap nasib yang menimpa Zara.

Kelihatan dalam beberapa video tular, lautan manusia memakai baju berwarna hitam membanjiri kawasan perhimpunan sambil memegang sepanduk bertulis #Justice4Zara.

Lebih menyentuh hati, orang ramai tidak kira bangsa, agama serta semua peringkat usia turut serta bersama-sama dalam perhimpunan sambil melaungkan #JusticeforZara.

Video perhimpuanan tersebut sekali gus menyentuh hati rakyat Malaysia di negeri lain yang berasa sebak serta kagum terhadap solidariti ditunjukkan rakyat di negeri Sabah.

“Terbaik rakyat Sabah, kami ‘respect’ sama kamu semua. Demi adik Zara, kita semua bersatu hati,” komen Jamal.

“Meremang tengok, serius aku menangis tengok ni. Sabahan memang mantap, terima kasih. Semoga keadilan berpihak pada Zara,” komen Mikhail.

“Terima kasih semua yang menegakkan keadilan buat adik Zara. Kita tidak boleh biarkan pembuli terus berkuasa,” komen Rosni.

Perhimpunan aman itu bakal diadakan pada Ahad (10 Ogos) di kawasan berlainan iaitu Sipitang, Papar, Ranau, Kundasang dan Telupid.

Seterusnya, perhimpunan tersebut akan diadakan di Kudat (12 Ogos) dan Keningau (16 Ogos).

Allahyarhamah Zara Qairina, 13 yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Mangsa didakwa terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |