RCB bantu suntik dana tingkatkan kapasiti keluaran Sambal Rindu

1 week ago 12

KUALA LUMPUR – Tidak mahu bertangguh dan melengahkan masa ketika fasa perniagaannya sedang mula meningkat naik, Pengasas syarikat Far Cekap Enterprise (Far Cekap), Mohd. Yusoff Fauzi Ahmad Labib menjadikan usaha untuk mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai satu keutamaan terlebih dahulu.

Tidak berdepan dengan sebarang kesulitan, pengeluar sambal sedia di makan di bawah jenama Sambal Rindu yang beroperasi di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan telah berjaya memperoleh sijil berkenaan pada tahun 2018 untuk produk sulungnya yang
berperisa original.

Bermula dari situ langkah kanan usahawan berusia 45 tahun itu terus ligat mengembangkan bisnes, sehingga kini syarikat menawarkan tiga produk sambal
dengan perasa original, kurang pedas dan sangat pedas selain ditambah lagi dengan produk sambal nasi lemak, daging masak hitam serta sambal paru.

“Pada ketika itu, proses mendapatkan pensijilan halal juga agak mudah dan saya berasa bangga kerana kami terus mengekalkan standard piawaian yang ditetapkan sehingga produk Sambal Rindu ini mencatat permintaan yang tinggi daripada pasaran.

“Dengan sijil halal, kami mudah menawarkan produk ketika menyertai karnival jualan di negara jiran khususnya di Singapura dan Brunei,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Kosmo! ketika ditemui di reruainya sempena Program Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini baru-baru ini.

Far Cekap telah mendapat suntikan pembiayaan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa
(SPED-RCB) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Rural Capital Berhad (RCB) bertindak sebagai ejen pelaksana.

Selain dana, penyertaan usahawan di bawah SPED-RCB di karnival terbesar itu adalah sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan RCB dalam menyokong pembangunan usahawan luar bandar.

Melalui penyertaan tersebut juga, usahawan berpeluang mempamerkan produk serta
perkhidmatan mereka kepada khalayak yang lebih luas, termasuk wakil-wakil agensi kerajaan, pelabur dan pengunjung awam.

Antara produk yang diketengahkan usahawan-usahawan berkenaan adalah makanan
tradisional, produk kecantikan tempatan, kraftangan moden dan perkhidmatan berasaskan digital.

Keterlibatan aktif usahawan dalam program berimpak tinggi seperti MK3D akan menjadi
pencetus kepada peningkatan kapasiti dan daya saing usahawan tempatan di pasaran nasional dan global.

Mohd. Yusoff menjelaskan, penyertaan dalam MK3D 2025 bukan sahaja membuka peluang kepada syarikatnya memperluas jaringan perniagaan, malah menjadi platform strategik untuk memperkukuhkan jenama serta memupuk keyakinan dalam kalangan pengguna terhadap produk luar bandar.

Mengulas lanjut, usahawan yang pernah terlibat dalam penternakan ayam dan jualan nasi
ayam berempah di Kampung Keretapi Air Hitam, Bandar Seri Jempol sebelum ini memaklumkan bahawa permintaan pasaran terhadap produk Sambal Rindu
semakin melonjak apabila syarikat tersenarai sebagai salah satu pembekal makanan di semua cawangan Kedai Mesra Petronas di seluruh negara.

Buat masa ini, syarikat hanya mampu menempatkan produk di 200 Kedai Mesra dan terdapat baki kira-kira 1,000 cawangan lagi untuk dipenuhi.

Jadi di sini wujudnya potensi luas menunggu buat Far Cekap untuk meluaskan pasarannya.

Bagi merealisasikan misi pengembangan syarikat, Mohd. Yusoff telah mendapat suntikan dana daripada SPED-RCB bernilai RM130,000 tahun lepas dengan kadar pembiayaan balik
yang berpatutan, selain proses permohonannya juga mudah serta pantas.

“Daripada dana tersebut, syarikat dapat menambah beberapa mesin retort baharu bersaiz besar, mesin untuk mengisi sambal di dalam botol dan juga mesin untuk pembungkusan yang lebihkomersial untuk meningkatkan kecekapan operasi kami,” ujar beliau.

Tambahnya, jika sebelum ini kapasiti pengeluaran Sambal Rindu hanya sekitar 200 botol sehari, dengan mesin baharu, jumlah pengeluaran boleh mencecah lebih daripada 3,500 botol sehari.

“Saya semakin bersemangat dan memiliki kekuatan untuk menerima tempahan tambahan selain untuk memenuhi permintaan bagi menempatkan produk di semua cawangan Kedai Mesra di seluruh negara secara berperingkat,” ujarnya.

Pengoperasian pengeluaran produk terus diaktifkan sambil syarikat bersedia memenuhi
keperluan usahawan lain untuk membangunkan produk masingmasing melalui konsep pengeluar peralatan asal (OEM) di bengkelnya.

Bersandarkan potensi berkenaan, Mohd. Yusoff kini mencari dana pengembangan baharu
untuk melengkapkan beberapa mesin pengeluaran di bengkelnya termasuk menambah kawah memasak sambal.

Apa yang beliau risaukan adalah risiko kerosakan pada salah satu daripada sembilan kawahmemasak di bengkelnya yang beroperasi selama 24 jam sehari, yang pastinya akan membantutkan operasi pengeluaran sambal.

Seperti memahami isu tersebut, Fauzi telah menerima pelawaan daripada salah seorang
pegawai RCB untuk memohon baki dana SPED-RCB.

“Saya kini dalam proses melengkapkan dokumentasi untuk menghantar permohonan
ke pejabat negeri RCB dan saya yakin, melalui dana tambahan tersebut, saya boleh pergi jauh.
“Saya mahu menambah 10 lagi kawah baharu untuk memasak sambal ,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Fauzi berkata, dengan sokongan daripada RCB sejak tahun lalu, beliau akan lebih aktif menyertai karnival dan program pameran serta jualan di seluruh negara untuk memperkukuhkan jenama produk.

Lebih menarik, perniagaan yang dulunya diusahakan dari dapur rumah dibantu isteri, sedang berusaha mendapatkan sijil piawaian terbaharu untukmengeksport produk ke China menerusi pemeteraian memorandum persefahaman dengan sebuah syarikat di negara berkenaan dijangka menjelang suku tahun keempat 2025. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |