RAMALLAH, TEBING BARAT – Penduduk Tebing Barat semalam memperingati ulang tahun ke-77 peristiwa genosid dan malapetaka yang menimpa negara Palestin pada tahun 1948, dikenali sebagai Nakba, lapor akhbar Arab News.
Siren serangan berbunyi selama 77 saat di serata lokasi di wilayah Palestin yang dijajah Israel itu bagi menandakan ulang tahun Nakba.
Peringatan itu berlaku di ketika Israel berterusan menyerang Semenanjung Gaza, yang menyebabkan lebih 52,000 rakyat Palestin terbunuh sejak akhir 2023, lapor agensi berita WAFA.
Selain itu, 40,000 orang dari kem pelarian Jenin dan Tulkarm di Tebing Barat terpaksa berpindah akibat peningkatan serangan peneroka haram Yahudi serta serbuan ke rumah oleh tentera Israel di samping pengharaman Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
WAFA melaporkan, beribu-ribu rakyat Palestin menyertai perhimpunan di Ramallah semalam. Mereka membawa bendera Palestin, sepanduk hitam dan kunci pintu sebagai simbol hak untuk pulang ke rumah.
Timbalan Pengerusi Pergerakan Fatah, Mahmoud Al-Aloul berkata, rakyat Palestin memperingti peristiwa Nakba dalam keadaan sukar.
“Terdapat malapetaka lebih teruk dan menyakitkan sedang dialami oleh rakyat kita di Gaza.
“Malapetaka di Gaza meragut nyawa kanak-kanak dan wanita, manakala pembunuhan beramai-ramai, kepungan dan kebuluran sedang berlaku,” kata Mahmoud.
Tambahnya, pembunuhan beramai-ramai oleh Rejim Zionis kini meluas ke Tebing Barat, manakala peneroka haram Yahudi mencetuskan keganasan terhadap rakyat Palestin, tanah mereka dan tapak suci umat Islam.
Semasa Nakba pada tahun 1948, tentera Yahudi mengusir kira-kira 750,000 rakyat Palestin dari pekan dan kampung, peristiwa yang membawa kepada penubuhan negara haram Israel.
Pelarian Palestin pula ditempatkan di kem-kem yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Tebing Barat, Semenanjung Gaza, Lubnan, Jordan dan Syria. – AGENSI