Rafizi beri nasihat kalau nak kahwin ahli politik

3 hours ago 2

PETALING JAYA – Jangan hanya nampak kehidupan ahli politik yang kelihatan senang, sebaliknya perlu bersedia dengan pelbagai risiko sebelum memilih mereka sebagai pasangan hidup.

Itu nasihat bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli kepada seorang pengguna Threads yang meluahkan hasrat untuk berkahwin dengan ahli politik kerana menyifatkan kehidupan golongan tersebut sebagai mudah.

Pengguna berkenaan yang menggunakan akaun @kitapwincessss berkata, dia menyimpan hasrat untuk menjadi isteri kepada ahli politik kerana beranggapan kehidupan di kemudian hari akan lebih senang.

“I (saya) rasa nak kahwin dengan politician (ahli politik) la sebab hidup macam senang je,” katanya.

Membalas hantaran itu, Rafizi berkata, terdapat pelbagai jenis ahli politik yang mempunyai cabaran tersendiri untuk pasangan mereka.

“Hati-hati ahli politik ada banyak jenis. Pertama, tak ambil rasuah, jadi hidup kau miskin dik, tak ada duit sentiasa si suami tu.

“Kedua, selalu keluar malam. Kalau isteri jenis insecure (kurang percaya), tak tidur malam dik fikir apa la si suami buat. Ketiga, takut kena tangkap (sebab) kalau si suami ‘laju’ dengan duit rakyat, bimbang kena tangkap.

“Keempat, ada slot empat (isteri) kenapa perlu satu. Yang jenis macam ini isteri bimbang suami nak tambah ‘slot’,” selorohnya.

Pada masa sama, beliau turut memberikan tips kepada pengguna itu sekiranya benar-benar mahu mencari pasangan daripada kelompok ahli politik.

“Tips, cuba dekati yang dalam sayap-sayap Pemuda, pergi mana-mana ada beg kepit bawah ketiak,” pesannya.

Bagaimanapun, Rafizi mengingatkan bahawa terdapat risiko lain sekiranya parti yang disertai pasangan berkenaan tewas dalam pilihan raya.

“Risiko, kalau parti dia kalah, dia dah miskin merana kau dik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |