AI di tempat kerja masih perlu sentuhan manusia

7 hours ago 7

MENJELANG tahun 2027, perbincangan mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) di tempat kerja tidak lagi tertumpu kepada persoalan sama ada teknologi itu perlu digunakan atau tidak.

Sebaliknya, persoalan yang semakin penting adalah cara AI boleh dilaksanakan dengan berkesan, selamat dan paling utama, berjalan seiring dengan keperluan tenaga kerja.

Memetik laporan daripada Futureiot Tech, Asia Pasifik menjadi antara rantau yang paling pantas menerima AI tetapi mencatatkan kadar kegagalan pelaksanaan yang tinggi.

Sebanyak 83 peratus perusahaan di rantau ini dilaporkan terpaksa menarik balik sistem AI yang telah dilancarkan disebabkan beberapa faktor manusia seperti budaya organisasi, kepercayaan dan keupayaan pekerja.

Menurut Naib Presiden Kanan Sumber Manusia Asia Pasifik dan Pengambilan Bakat Global Sinch, Kristie Healy, antara isu utama adalah ketidakseimbangan dalam peruntukan pelaburan.

Menerusi pertemuannya dengan Deloitte, hampir 93 peratus belanjawan AI di perusahaan dibelanjakan untuk aspek teknologi, sedangkan hanya tujuh peratus diperuntukkan bagi pembangunan budaya dan pengurusan perubahan.

PERTIMBANGAN manusia masih diperlukan bagi memastikan AI digunakan secara bertanggungjawab. – Gambar hiasan

“Ketidakseimbangan ini boleh menyebabkan organisasi memiliki teknologi canggih, tetapi tidak mempunyai asas manusia yang kukuh untuk menggunakannya dengan berkesan.

“Keadaan ini diburukkan oleh tekanan untuk segera mengadaptasi AI kerana bimbang ketinggalan.

“Satu kajian mendapati, 37 peratus organisasi di Asia Pasifik melabur secara agresif dalam AI tanpa penilaian mencukupi berbanding purata global 20 peratus.

“Akibatnya, hanya 40 peratus pelaksanaan AI di rantau ini berjaya melebihi jangkaan, manakala selebihnya gagal mencapai matlamat ditetapkan,” katanya yang bekerja di sebuah firma berpangkalan di Melbourne, Australia.

Justeru itu, usaha membina kepercayaan dalam kalangan pekerja perlu menjadi keutamaan kerana ia tidak boleh diwujudkan hanya melalui arahan daripada pihak pengurusan tertinggi.

Sebaliknya, usaha itu perlu dibentuk melalui interaksi dan amalan harian di tempat kerja.

Kata Healy, penglibatan manusia tetap menjadi prinsip penting dalam memastikan AI digunakan secara bertanggungjawab.

Teknologi boleh mengendalikan tugasan kompleks dan rutin dengan pantas, tetapi pertimbangan manusia masih diperlukan sebagai lapisan kawalan terakhir.

“Dalam masa sama, organisasi perlu memberi perhatian kepada kemahiran yang sukar digantikan mesin seperti pemikiran kritis, empati, rasa ingin tahu, kebijaksanaan membuat keputusan dan keupayaan menyesuaikan diri.

“Semakin banyak tugas rutin menjadi automatik, jadi nilai kemahiran insaniah dijangka menjadi lebih penting dalam pasaran pekerjaan,” ujarnya.

Jadi, sumber manusia perlu mengubah pendekatan daripada sekadar menyediakan teknologi buat pekerja kepada memastikan mereka benar-benar memahami cara menggunakan AI secara bertanggungjawab.

Kejayaan AI tidak hanya ditentukan oleh kecanggihan algoritma.

Sebaliknya, ia bergantung pada sejauh mana sesebuah organisasi mampu membina kepercayaan, keupayaan dan budaya yang meletakkan manusia sebagai tunjang dalam operasi.

Read Entire Article
Pertanian | | | |