Kecantikan buka pentas, ilmu tentukan langkah, tahniah Taanusiya – Fadhlina

7 hours ago 5

PETALING JAYA – Kecantikan mungkin membuka ruang seseorang berada di pentas dunia, namun ilmu dan pemikiran menjadi penentu bagaimana peluang itu dimanfaatkan untuk membawa sesuatu yang bermakna.

Itu antara perkara yang menarik perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek terhadap Taanusiya Chetty yang bukan sahaja cemerlang dalam pertandingan Miss World 2026, malah meletakkan pendidikan dan kerja advokasi sebagai sebahagian daripada perjuangannya.

Fadhlina berkata, pencapaian Taanusiya membuktikan kejayaan seseorang wanita tidak seharusnya dinilai semata-mata menerusi penampilan, sebaliknya turut melibatkan ilmu, pemikiran dan usaha memberi impak kepada masyarakat.

“Saya tertarik bukan sahaja dengan pencapaiannya di pentas dunia tetapi juga dengan sisi Taanusiya yang meletakkan pendidikan dan kerja advokasi sebagai sebahagian daripada perjuangannya.

“Kerana kecantikan mungkin membuka pentas, tetapi ilmu dan pemikiran menentukan apa yang kita lakukan apabila berada di atasnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Fadhlina turut mengucapkan tahniah kepada Taanusiya selepas meraih tempat ketiga Miss World 2026 sekali gus membawa Malaysia kembali berada dalam kelompok tiga terbaik pertandingan berkenaan selepas 27 tahun.

“Bukan selalu nama Malaysia berada dalam kelompok tiga terbaik Miss World. Selepas 27 tahun, Taanusiya Chetty membawa kita kembali ke sana.

“Tahniah Taanusiya atas pencapaian meraih tempat ketiga Miss World 2026,” katanya.

Beliau turut berharap Taanusiya terus menggunakan platform dan suara yang dimilikinya untuk membawa isu serta perkara yang memberi makna kepada masyarakat.

“Tahniah Taanusiya. Terus gunakan pentas dan suara yang ada untuk membawa perkara-perkara yang bermakna. Malaysia bangga!” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |