GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa hasil siasatan berhubung insiden pelanggaran feri Teluk Bahang dengan kapal MV Mekar Jaya pada 1 September lalu didedahkan kepada umum.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, orang ramai berhak mengetahui punca sebenar kejadian yang berlaku dalam sempadan Pelabuhan Pulau Pinang berhampiran Terminal Feri Sultan Abdul Halim (PSAH) itu.
Menurutnya, insiden berkenaan mengakibatkan 21 penumpang feri dilaporkan mengalami kecederaan dan berpotensi menjadi satu bencana lebih besar.
“Orang ramai berhak untuk mengetahui punca pelanggaran, sama ada langkah keselamatan yang mencukupi telah dilaksanakan dan sama ada sebarang kegagalan dalam navigasi, komunikasi, pengurusan trafik atau prosedur lain menyumbang kepada kejadian itu.
“Dapatan siasatan juga sepatutnya membantu mencegah kejadian seperti ini daripada berulang pada masa hadapan,” katanya di sini, hari ini.
Mohideen berkata lagi, CAP mengalu-alukan siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) dan menggesa semua langkah sewajarnya diambil bagi meningkatkan tahap keselamatan di perairan pelabuhan.
Katanya, perkara itu penting memandangkan kapal MV Mekar Jaya yang dikenal pasti sebagai kapal tangki kimia mempunyai berat kira-kira 1.5 kali ganda berbanding berat kasar feri Teluk Bahang.
“Selain perbezaan berat, kedua-dua kapal juga berbeza dengan ketara dari segi dimensi dan fungsi, menjadikan pengurusan pergerakan kapal yang selamat di terusan amat penting,” katanya.
Dalam pada itu, CAP turut mempersoalkan keberkesanan Sistem Pengurusan Trafik Kapal (VTMS) yang dilaksanakan PPC pada Jun lalu sebagai sebahagian usaha meningkatkan keselamatan, kecekapan dan kemampanan operasi di Pelabuhan Pulau Pinang.
Mohideen berkata, VTMS mempunyai keupayaan memantau pergerakan kapal menerusi sistem seperti radar dan Sistem Pengenalan Automatik (AIS).
Menurutnya, rekod berkenaan berpotensi menentukan kedudukan, kelajuan, hala tuju dan pergerakan kedua-dua kapal sebelum pelanggaran berlaku.
“Rekod AIS dan radar juga boleh membantu menentukan sama ada kapal berada di laluan pelanggaran dan pada ketika mana bahaya yang sedang berkembang sepatutnya menjadi jelas.
“CAP menggesa PPC menentukan sama ada VTMS sedang memantau kedua-dua kapal ketika kejadian dan sekiranya ya, apakah maklumat yang tersedia kepada pengendali sistem dalam beberapa minit sebelum perlanggaran.
“Adalah juga penting untuk menentukan sama ada sebarang amaran atau komunikasi telah dikeluarkan kepada mana-mana kapal sebelum pelanggaran,” ujarnya VTMS tidak boleh dianggap sebagai pengganti tanggungjawab nakhoda dan anak kapal. -KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2


![[VIDEO] Dari kopi O bertukar jadi Americano air di Kelantan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-08-at-14.45.16.jpeg)













































