Pusat Hemodialisis Felda mula beroperasi bulan depan

14 hours ago 6

DUNGUN – Pusat Hemodialisis Felda (PHF) yang merupakan inisiatif kesejahteraan komuniti peneroka tanah rancangan yang diilham oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal beroperasi pada bulan depan.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, setakat ini, lapan daripada 13 PHF yang dibina di wilayah Felda seluruh negara telah berjaya disiapkan dan sudah boleh memberi perkhidmatan terhadap pesakit buah pinggang kronik pada masa terdekat.

“Baki PHF lain pula sedang dalam pembinaan dan dijangka dapat disiapkan menjelang hujung tahun ini.

“Kemudahan ini akan meningkatkan akses kepada pesakit buah pinggang kronik dalam kalangan warga Felda dan masyarakat sekitar bagi mendapatkan rawatan dialisis,” katanya selepas melakukan semakan akhir terhadap PHF Felda Kerteh 5, Hulu Dungun di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata, setiap PHF terlibat dilengkapi sekurang-kurangnya enam mesin dialisis yang mampu menampung 36 pesakit pada satu-satu masa.

Beliau berkata, kemudahan PHF berkenaan mampu mengurangkan kebergantungan pesakit buah pinggang kronik dalam kalangan peneroka Felda terhadap hospital kerajaan.

“Kita faham kekangan kapasiti mesin dialisis di hospital selain kesukaran pesakit buah pinggang kronik tinggal di tanah rancangan yang perlu menghadapi perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Terdahulu sewaktu merasmi Karnival Segalanya Felda di Felda Teloi Timur, Sik, Kedah pada 4 Ogos 2023, Anwar mengumumkan pembinaan 12 pusat hemodialisis di kesemua wilayah Felda dan sebuah lagi di premis Yayasan Felda di Kelana Jaya, Selangor melibatkan peruntukan keseluruhan RM21 juta.

Kesemua PHF terbabit mampu memberi manfaat dan meringankan beban hampir 2,000 pesakit buah pinggang kronik di kawasan rancangan terlibat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |