Projek ECRL cecah kemajuan 86.07 peratus – KSN

1 week ago 12

PUTRAJAYA – Pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini berada di landasan yang tepat dengan kemajuan kerja fizikal keseluruhan mencapai 86.07 peratus setakat Julai lalu.

Perkembangan tersebut sekali gus menunjukkan bahawa projek mega yang menghubungkan Lembah Klang dengan Pantai Timur itu sedang berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, beliau yakin jajaran ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dapat disiapkan menjelang Disember 2026 dan mula beroperasi pada Januari 2027.

Beliau yang juga Pengerusi MRL berkata, MRL juga optimis jajaran ECRL Fasa 2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang juga dapat disiapkan menjelang Disember 2027 untuk membolehkan infrastruktur nasional ini beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.

“Insha-Allah dengan izinNya, semua perancangan ini dapat direalisasikan, rakyat dan negara dapat manfaat atas kemudahan perjalanan dan limpahan ekonomi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan Ekosistem Kewangan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) 360 Darjah RHB-MRL di sini, hari ini.

Katanya, projek ECRL membabitkan jarak 665 kilometer adalah satu contoh terbaik yang mendukung agenda ESG.

Projek itu menetapkan pembinaan 41 terowong, laluan bertingkat sepanjang 154 kilometer dan 28 lintasan hidupan liar di lokasi strategik bagi mengurangkan penglibatan kawasan hutan simpan dan tadahan air serta meminimumkan kesan terhadap hidupan liar dan habitat di hutan.

“Tambahan pula, rangkaian 665 kilometer ECRL yang menerapkan landasan elektrik akan mengurangkan sejuta tan karbon dioksida setiap tahun apabila ia beroperasi pada Januari 2027,” katanya.

Jelasnya lagi, selaras dengan komitmen MRL terhadap inisiatif kelestarian dan kemampanan, satu pencapaian bersejarah dicapai pada Februari 2024 apabila MRL menjadi syarikat pertama di bawah Kementerian Kewangan, serta satu-satunya projek infrastruktur pengangkutan yang dibiayai secara hijau.

“MRL telah melancarkan Program Sukuk Mampan dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) iaitu inisiatif pembiayaan Islamik bernilai sehingga RM10.21 bilion.

“Pencapaian ini bukan sahaja mencatat sejarah sebagai Sukuk SDG pertama di Malaysia yang dijamin oleh kerajaan, malah turut menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh pembiayaan lestari bagi sektor pengangkutan,” katanya.

Katanya, kejayaan Sukuk SDG MRL diiktiraf secara meluas di peringkat tempatan dan serantau dengan meraih pelbagai anugerah berprestij.

Penerbitan Sukuk SDG itu telah berjaya meraih dana sebanyak RM7.40 bilion sehingga Julai 2025 dan digunakan bagi membiayai Projek ECRL yang merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Read Entire Article
Pertanian | | | |