Prestasi memukau Hakim Danish di Estoril

7 hours ago 2

PELUMBA berbakat negara, Hakim Danish Ramli terus mencuri tumpuan apabila membuka musim 2025 dengan persembahan memukau apabila menaiki podium tempat kedua pada aksi pembuka tirai Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) kelmarin.

Lebih manis, pencapaian cemerlang di Litar Estoril, Portugal itu hadir seminggu selepas Hakim menggegar perlumbaan pembuka tirai Red Bull MotoGP Rookies Cup di Jerez, Sepanyol dengan meraih dua podium tempat kedua berturut-turut sekali gus memimpin carta teratas.

Biarpun bergelut semenjak sesi latihan bebas pertama (FP1) JuniorGP, Hakim yang bersaing bersama SIC Racing-MSi berjaya bangkit mencatat masa ketiga terpantas ketika kelayakan sekali gus melayakkannya ke barisan hadapan.

Walaupun berdepan tentangan sengit daripada pelumba Sepanyol, Brian Uriarte, Casey O’Gorman (Ireland), Rico Salmela, namun Hakim bijak mencari ruang untuk menaiki podium.

“Ia podium pertama saya dalam JuniorGP untuk musim ini. Perlumbaan bukan permulaan yang baik, tetapi saya berjaya bangkit.

“Saya tahu Brian (Uriarte) ada kelajuan lebih baik dan rentak kelompok hadapan agak perlahan. Untuk perlumbaan seterusnya, saya akan cuba kekal bersamanya,” kata Danish selepas akur Uriarte menjuarai perlumbaan tersebut.

Pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin menyifatkan permulaan musim ini sebagai yang terbaik pernah dipamerkan Hakim.

“Hakim memulakan musim dengan podium dalam kedua-dua kejohanan Rookies Cup dan JuniorGP. Fokus kami ialah mengekalkan prestasi dan momentum. Dua perlumbaan selepas ini sangat penting,” katanya.

Hakim bakal kembali ke litar minggu hadapan untuk pusingan kedua Red Bull MotoGP Rookies Cup di Litar Le Mans, Perancis dari 9 hingga 11 Mei sebelum meneruskan JuniorGP di Jerez hujung bulan ini.

Pelumba kelahiran Terengganu itu membawa misi besar musim ini apabila perlu mengekalkan prestasi cemerlang bagi memenuhi sasaran SIC Racing yang memberi jaminan tempat ke Moto3 sekiranya mampu mengekalkan keputusan konsisten sepanjang musim.

Read Entire Article
Pertanian | | | |