IPOH – Potensi projek Taman Industri Halal Perak@Lekir (Perak HIP) mendapat perhatian daripada pelabur antarabangsa apabila syarikat dari beberapa buah negara menunjukkan minat terhadapnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Mohd. Azhar Mohd. Yusof berkata, pembangunan hab strategik industri halal itu telah menarik minat syarikat termasuk dari Pakistan, yang melihat peluang besar dalam ekosistem halal yang ditawarkan.
Menurutnya, Perak SADC kini giat menjalankan inisiatif untuk mengalu-alukan lebih banyak penyertaan pelabur antarabangsa dalam usaha menjadikan Perak HIP sebagai hab industri halal serantau yang mampan dan berdaya saing.
“Dalam mempromosikan Perak HIP, kami telah terlibat dalam beberapa siri business pitching melalui penyertaan dalam forum ekonomi, eksport halal serta program-program yang melibatkan industri makanan dan sekuriti makanan.
“Ini termasuklah penyertaan dalam acara bertaraf antarabangsa seperti Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), Makkah Halal Forum, Malaysia-China Halal Business Conference dan terbaharu, ASEAN Summit 2025,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Azhar berkata, pelaksanaan Perak HIP oleh Perak SADC selari dengan agenda pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu di bawah Flagship 1 Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan).
Katanya, pembangunan Perak HIP bertujuan untuk mewujudkan satu kawasan industri yang memfokuskan kepada tiga segmen halal, iaitu Segmen Gelatin dan Ekosistem, Segmen Logistik dan Gudang Sejuk Beku, serta Segmen Pemprosesan Makanan Halal.
“Perak HIP diharap dapat menarik pelaburan langsung asing (FDI) serta pelaburan domestik yang tinggi terutama dalam sektor pemprosesan makanan halal, logistik sejuk beku, dan penghasilan gelatin halal,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan itu disasarkan bakal memberi manfaat kepada rakyat yang mana lebih 300 peluang pekerjaan akan dibuka kepada penduduk setempat, selain mewujudkan peluang baharu buat usahawan kecil dan sederhana.
“Pembangunan ini juga memberi peluang kepada syarikat-syarikat yang sedang mencari lokasi strategik, fasiliti canggih dan ekosistem yang menyokong pertumbuhan dan inovasi untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam Perak HIP kelak,” katanya.
Pembangunan Perak HIP melibatkan kawasan berkeluasan 63.5 hektar yang bukan sahaja bakal menjadi nadi ekonomi baharu untuk negeri Perak, tetapi juga sebagai hab bagi industri gelatin di rantau ini.
Tambah Mohd. Azhar, pembangunan projek Perak HIP telah bermula dan kini dalam fasa pembinaan laluan masuk setelah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan, manakala kerja-kerja pembinaan infrastruktur dijangka bermula pada bulan hadapan.