Polis Thailand urus penghantaran Eda Ezrin secara ‘senyap-senyap’

1 week ago 12

NARATHIWAT, THAILAND – Penghantaran pulang penyanyi Bae Soba Bae, Eda Ezrin, suami dan empat rakan ke Malaysia hari ini dijalankan secara ‘senyap-senyap’ oleh pihak polis Thailand.

Difahamkan, langkah itu dibuat selepas pihak berkuasa Thailand menyedari kehadiran pihak media, ahli keluarga dan kenalan Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail di Sungai Golok dekat sini hari ini dan semalam.

Setakat pukul 12.20 tengah hari waktu tempatan, Eda Ezrin, suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, masih berada di bilik khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Mueang di sini.

Jurucakap Polis Daerah Mueang berkata, keenam-enam rakyat Malaysia itu berada dalam keadaan sihat dan telah menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dihantar pulang ke Malaysia.

“Penghantaran pulang kesemua mereka dilakukan secara ‘senyap-senyap’. Mungkin dalam sejam dua lagi.

“Anggota polis Sungai Golok akan mengiringi mereka ke pejabat imigresen untuk proses dokumentasi,” katanya ketika dihubungi di sini hari oni.

Menurutnya, Eda Ezrin, suami dan rakannya diberi bilik khas mengikut pasangan masing-masing.

“Ada media Malaysia dan keluarga Eda datang untuk bertemu di balai polis di sini. Tapi kami menerima arahan untuk tidak membenarkan mereka masuk,” katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan yang dibebaskan sepenuhnya dari Penjara Pusat Wilayah Narathiwat dijangka pulang ke Kelantan hari ini.

Kesemua mereka perlu bermalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Mueang di sini sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen Pekan Sungai Golok untuk urusan dokumentasi.

Selepas itu, mereka dibenarkan pulang ke Kelantan pagi esok melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |