TIDAK perlu lagi untuk memperkenalkan Real Madrid kerana jenama itu sudah pun tersemat rapi dalam diri setiap peminat bola sepak di seluruh dunia.
Deretan kejuaraan pernah diraih sebelum ini melayakkan Real dilabel sebagai pasukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia Kelab kali ini walaupun ia menggunakan format baharu.
Selepas kecewa dalam saingan La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini, Los Blancos seperti memiliki semangat tambahan bagi menutup cerita musim ini dengan kejayaan bermakna untuk dibanggakan sepanjang 2025.
Senarai pemain berkelas dunia menggambarkan kualiti Real apabila sebut sahaja nama Jude Bellingham, Eduardo Camavinga, Aurelien Tchouameni, Federico Valverde, Vinicius Junior, Rodrygo atau pun Kylian Mbappe, ia pasti menghadirkan gerun kepada pasukan lawan.
Selain impak yang bakal disajikan oleh deretan bintang itu, tumpuan lain mengenai Real kini lebih menjurus kepada ketua jurulatih baharu, Xabi Alonso menggantikan Carlo Ancelotti.
“Detik ini menjadi sesuatu yang cukup istimewa buat diri saya dan peluang ini akan sentiasa diingati sepanjang hayat. Ini adalah lembaran baharu dan saya perlu berterima kasih kerana kelab percayakan saya untuk mengetuai era baharu pasukan ini.
“Kitaran Ancelotti berakhir dan beliausudah pun meninggalkan pengaruh besar kepada saya. Saya tidak akan berada di tempat ini tanpa tunjuk ajar daripadanya.
“Kami sudah pun memulakan era baharu dan saya fikir kami adalah pasukan yang hebat kerana memiliki pemain berkualiti. Kami mampu raih kejayaan besar yang setimpal untuk pasukan seperti Real Madrid,” kata Alonso.
Secara keseluruhan, Real hadir ke Piala Dunia Kelab 2025 dengan reputasi besar sebagai jaguh Eropah yang pernah meraih pelbagai kejayaan termasuk memenangi pertandingan itu sebanyak lima kali.
Walaupun terdapat cabaran seperti keletihan dan kecederaan, keupayaan, kualiti individu serta kepimpinan Alonso bakal menjadikan Real sebagai gergasi yang pastinya cuba dielak oleh pencabar lain.
INFO
KUMPULAN H
REAL MADRID
Negara: Sepanyol (La Liga)
Nama gelaran: Los Blancos
Jurulatih: Xabi Alonso
Kapten: Luka Modric
Pemain tumpuan: Kylian Mbappe