JUVENTUS menerima tonik terbaik menghadapi Piala Dunia Kelab 2025 selepas mengekalkan Igor Tudor sebagai pengendali utama untuk membawa cabaran di bumi Amerika Syarikat.
Kehadiran Tudor, 47, selepas pemecatan Thiago Motta dianggap tepat ketika pasukan itu dalam misi besar untuk bersaing pada saingan kali ini yang membuka tirainya secara rasmi hari ini.
Pengurus Besar Juventus, Damien Comolli mengesahkan bahawa jurulatih dari Croatia itu terus diberikan kepercayaan untuk mengembalikan reputasi kelab antara gergasi di Eropah.
“Tudor akan mengetuai pasukan ke Piala Dunia Kelab. Kami sudah mula berbincang secara terperinci dan dia memainkan peranan penting dalam membawa pasukan kembali ke landasan.
“Kami tidak datang hanya untuk menyertai. Kami datang untuk menang. Ini pentas dunia dan Juventus harus kembali menulis sejarah,” tegas Comolli.
Comolli yang pernah mengurus Toulouse di Perancis, mengakui sudah lama mengagumi pendekatan taktikal Tudor sejak era kendaliannya di Marseille.
“Ketika beliau di Marseille, pasukannya menewaskan kami dua kali, malah kami sempat bergurau mengenainya. Apa yang beliau lakukan di sana benar-benar mengagumkan, intensiti, ketahanan fizikal dan mental pemain mereka sangat luar biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Comolli turut mengesahkan Randal Kolo Muani yang dipinjam daripada Paris Saint Germain (PSG) akan bersama Juventus ke Piala Dunia Kelab walaupun kontraknya tamat hujung bulan ini.
Juventus diundi dalam Kumpulan G dan bakal berdepan Manchester City, Wydad AC serta Al Ain FC dengan aksi dijadualkan berlangsung di Washington, Philadelphia serta Orlando.
Namun, antara watak penting dalam skuad ini ialah pemain tengah Amerika Syarikat, Weston McKennie yang bersedia memberikan aksi terbaik di tanah airnya sendiri.
“Selagi saya bermain saya tetap gembira. Letak saya di mana saja, saya akan main. Yang penting saya bantu pasukan menang.
“Bagi saya ia seperti Piala Dunia sebenar dan pasti sengit kerana kita akan berdepan pasukan dari benua lain, gaya lain dan ini pengalaman yang luar biasa,” kata McKennie yang menyeru penyokong Amerika untuk memberikan sokongan kepada Juventus.
INFO
KUMPULAN G
JUVENTUS
Negara: Itali (Serie A)
Nama Gelaran: Bianconeri
Jurulatih: Igor Tudor
Kapten: Danilo Luiz da Silva
Tiket kelayakan: Layak melalui ranking UEFA