Piala Dunia Kelab: Dortmund perlu aksi lima bintang

13 hours ago 5

PENGENDALI Borussia Dortmund, Niko Kovac memberi amaran kepada barisan pemainnya bahawa pentas Piala Dunia Kelab 025 bukanlah medan untuk ‘makan angin’, sebaliknya menuntut aksi bertaraf kelas dunia.

Gergasi Bundesliga itu diundi dalam Kumpulan F yang dianggap sukar apabila bakal berdepan juara Copa Libertadores dari Brazil, Fluminense, gergasi Korea Selatan, Ulsan HD serta wakil berbahaya dari Afrika Selatan, Mamelodi Sundowns.

“Kami tahu pasukan seperti Mamelodi Sundowns dan Ulsan HD tidak akan menganggap ia sebagai percutian. Mereka mahu membuktikan sesuatu di atas padang,” kata Kovac.

Pengendali berusia 53 tahun itu menuntut anak-anak buahnya mempamerkan aksi bertaraf lima bintang jika mahu merealisasikan impian menjulang trofi berprestij itu di Amerika Syarikat.

Kovac mengakui, pasukannya ibarat memasuki ‘wilayah asing’ kerana kurang pendedahan menentang kelab dari benua lain yang memiliki corak permainan serta intensiti berbeza.

“Kami tidak begitu mengenali kelab dari Amerika Selatan atau Asia. Ia satu cabaran baharu buat kami dan kami tidak tahu cabaran sebenar yang menanti para pemain.

“Ketika ini, pasukan sedang mengkaji data, meneliti rakaman video dan menganalisis sistem taktikal untuk mengenal pasti corak tekanan tinggi, bentuk pertahanan serta ancaman individu dibawa setiap pasukan,” katanya.

Bagi menghadapi cabaran getir itu, Dortmund turut memperkukuh pasukan dengan membawa masuk ‘senjata baharu’, Jobe Bellingham iaitu adik kbintang Real Madrid, Jude Bellingham.

Pemain tengah berusia 19 tahun itu menandatangani kontrak lima tahun selepas melengkapkan perpindahan dari Sunderland dan bakal menyarung jersi nombor 77.

Membuktikan komitmennya, Jobe sanggup mengetepikan panggilan skuad bawah 21 tahun (B-21) England untuk saingan Euro B-21 demi memberi tumpuan penuh kepada kelab baharunya.

“Saya amat teruja untuk bergelar pemain Borussia Dortmund dan bersedia berjuang merebut kejuaraan. Saya tidak sabar untuk memakai jersi hitam dan kuning ini,” kata Jobe.

Pengarah Urusan Dortmund, Lars Ricken menyifatkan Jobe sebagai aset masa depan yang sempurna buat pasukannya.

“Jobe pemain yang sangat berbakat dengan kematangan luar biasa dan kami harap dia mampu menjadi tonggak masa depan Dortmund,” katanya.

Dortmund akan membuka kempen menentang Fluminense pada 17 Jun sebelumbertemu Mamelodi Sundowns dan Ulsan HD.

INFO

KUMPULAN F

BORUSSIA DORTMUND

Negara: Jerman

Nama Gelaran: Die Schwarzgelben

Jurulatih: Niko Kovac

Kapten: Emre Can

Tiket Kelayakan: Layak melalui ranking Eropah

Read Entire Article
Pertanian | | | |