Piala Asia 2025: Malaysia jumpa Thailand di final

7 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Skuad regu sepak takraw negara tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pentas final Piala Asia Kuala Lumpur 2025 selepas menundukkan Vietnam 2-0 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Kemenangan itu turut mengesahkan pertemuan semula menentang musuh tradisi, Thailand dalam perlawanan akhir malam ini, sekali gus mengulangi skrip final Piala Dunia Kuala Lumpur 2024.

Pada edisi tersebut, skuad negara mencipta sensasi apabila mengejutkan Thailand menerusi kemenangan 2-0 (15-8, 15-12) dalam aksi straight set yang penuh bergaya.

AZLAN Alias membuat libasan bola ke arah pasukan Vietnam ketika perlawanan separuh akhir bagi acara regu pada Piala Asia Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

Dalam aksi separuh akhir sebentar tadi, trio emas negara yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) jelas berada di kelas tersendiri apabila mudah mengetepikan cabaran Vietnam dengan keputusan 15-8, 15-10.

Vietnam yang mempertaruhkan gandingan terbaik mereka, Ngo Thanh Long (tekong), Voung Minh Chau (pengumpan) dan Huynh Ngoc Sang (perejam) dilihat gagal menandingi ketenangan dan konsistensi permainan regu negara.

Kejayaan itu sudah pasti menjadi suntikan moral terbaik buat skuad bimbingan Ahmad Mohd Zin untuk mengatur strategi menentang skuad Gajah Perang yang tampil dengan reputasi besar selepas dibarisi pemain yang pernah bersaing di pentas Liga Sepak Takraw (STL).

Terdahulu, Thailand tidak berdepan tentangan sukar apabila mudah menewaskan India 2-0 untuk mara ke final menerusi kemenangan straight set (15-9, 15-5). -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |