Perolehan pesawat Boeing untuk ganti pesawat lama – Tengku Zafrul

4 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Perolehan pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) bukan disebabkan oleh kerana tekanan tarif Amerika Syarikat (AS), tetapi berlandaskan kepada keperluan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia bagi menggantikan pesawat B737-800 yang secara purata sudah beroperasi selama 14 tahun.

Justeru, katanya, perolehan pesawat Boeing sebahagian daripada pelan pembaharuan dan peluasan kapasiti armada yang bersifat jangka panjang serta berfasa.

“Pada 20 Mac 2025, MAG telah pun memuktamadkan tempahan tambahan sebanyak 30 buah pesawat Boeing 737 MAX dengan tempoh penghantaran dijangka bermula 2025 hingga 2035.

“Selain itu, terdapat 30 pesawat lagi di bawah kategori ‘perancangan’ akan diputuskan berdasarkan strategi dan pelan pertumbuhan MAG pada masa depan,” katanya pada sesi pengumuman mengenai kadar baharu tarif timbal balas AS ke atas Malaysia di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, perolehan itu juga usaha dalam mengurangkan jurang defisit dagangan dua hala, malah memberi manfaat kepada industri aeroangkasa Malaysia ini kerana Boeing sudah lama menjadi rakan utama dalam industri itu.

Sementara itu, katanya, Malaysia tidak mengenakan sebarang sekatan eksport ke atas bekalan unsur nadir bumi atau mineral kritikal kepada AS bukan bermaksud memberikan hak eksklusif kepada negara itu bagi bekalan berkenaan.

Beliau sebaliknya menerangkan, Malaysia pada masa ini memang tidak mengenakan sekatan eksport unsur nadir bumi atau mineral kritikal kepada mana-mana negara.

Dalam pada itu, beliau menafikan Malaysia akan serta-merta mengiktiraf sijil halal AS sebagai antara syarat rundingan penurunan tarif timbal balik.

Kata beliau, antara perkara utama yang dipersetujui adalah membenarkan pengimportan ke Malaysia yang mendapat Sijil Halal dari badan pensijilan halal AS yang mematuhi piawaian dan standard halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kerajaan tidak berkompromi dan terus mengekalkan standard halal yang mematuhi syariah bagi memelihara kepentingan pengguna dalam kalangan umat Islam di negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |