Penyanyi kudung gigih cari rezeki

1 week ago 10

IPOH – Seorang ibu tunggal yang kehilangan kedua-dua belah kakinya terpaksa mencari upah sebagai penyanyi sambilan bagi menanggung dua anak perempuannya yang berusia 12 dan 16 tahun.

Pada mulanya, N. Megala, 44, kehilangan sebelah kaki pada tahun 2022 akibat kemalangan, namun setahun kemudian, satu lagi kakinya terpaksa dipotong disebabkan kencing manis.

Dia kini bergantung sepenuhnya terhadap kerusi roda dan sukar untuk memenuhi tempahan kerja-kerja menjahit yang dilakukan sebelum ini
.
“Saya kehilangan suami 12 tahun lalu akibat kemalangan di tempat kerja. Keadaan bertambah sukar apabila saya kehilangan pula kedua-dua belah kaki.

“Dua anak saya pun menghidap penyakit termasuk diabetes. Adakala saya hanya mampu menangis melihat mereka dalam keadaan kesakitan kerana saya sukar bergerak,” katanya kepada Kosmo! di rumahnya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, dia kini bergantung kepada pencen mendiang suaminya kira-kira RM1,200 sebulan, namun jumlah itu tidak mencukupi kerana perlu menanggung kos rawatan dan ubat-ubatan untuk dirinya dan anak-anak selain perbelanjaan persekolahan.

Dia kini mengharapkan upah dengan memenuhi jemputan sebarang majlis untuk membuat persembahan nyanyian demi mencari wang tambahan.

“Saya cuba menghafal sebanyak mungkin lagu untuk bersiap sedia membuat persembahan, termasuk lagi bahasa Melayu.

“Saya cuba promosikan diri menerusi TikTok dengan harapan orang ramai boleh melihat kebolehan saya dan menjemput saya untuk menyanyi,” katanya.

Megala kini juga cuba membiasakan diri untuk menggunakan kaki palsu, tetapi dia perlu mengambil masa kerana akan berasa sakit atau melecet ketika menggunakannya.

Orang ramai yang mahu menyumbang bantuan boleh me­nyalurkannya melalui akaun CIMB Bank 7632390567 atas nama Megala Nadeson atau meng­hubunginya di talian ­017-865 2284.

Read Entire Article
Pertanian | | | |