Penganggur nafi tikam anggota polis

1 week ago 12

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis dan memiliki senjata berbahaya di Wangsa Maju, minggu lalu.

Tertuduh, Yap Thye Sun, 56, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa cuba membunuh seorang anggota polis, Koperal Mohd. Nazri Sudiman dengan menikam mangsa di bahagian perut menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan serius.

Tikaman itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan ‘penetrating abdominal wound with evisceration’ iaitu usus terkeluar akibat tikaman tersebut yang berisiko menyebabkan kematian.

Kejadian itu didakwa dilakukan dilakukan di tepi jalan pusingan U Jalan Yew, Wangsa Maju, di sini pukul 12.30 tengah hari, 31 Julai lalu yang didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau sepanjang 21.5 sentimeter berhulu kayu tanpa alasan yang sah di pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuan Abdul Latif memohon tiada jaminan ditawarkan kerana ia merupkan kesalahan serius.

“Sekiranya mahkamah memberikan jaminan terhadap tertuduh, dia berisiko tinggi melarikan diri selain kes melibatkan kecederaan serius terhadap seorang anggota,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 September ini bagi tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |