Pendigitalan mantapkan lagi peranan YGMB

14 hours ago 4

LUMUT – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) terus mengekalkan peranan menjaga kebajikan 110,000 ahlinya dengan menawarkan yuran terendah di samping mewujudkan manfaat besar dan berganda sejak ditubuhkan lebih tiga dekad lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, ia selari dengan misi dan visi YGMB untuk memartabatkan profesion keguruan negara sesuai dengan paksinya yang tidak berorientasikan keuntungan semata-mata.

Katanya, sehubungan itu YGMB telah beroperasi secara digital sepenuhnya pada tahun lalu bagi memudahkan segala urusan pentadbiran, permohonan dan tuntutan bagi memastikan pihaknya terus relevan dan seiring dengan kemajuan teknologi masa kini.

“Segala tuntutan, semakan keahlian dan banyak lagi kini menjadi lebih pantas, telus dan mesra pengguna.

“Sejak lima tahun lalu, kita telah membayar tuntutan manfaat lebih RM9 juta menerusi lima skim yang ditawarkan termasuk Skim Platinum yang baharu diwujudkan dengan kerjasama Zuhrich Takaful Malaysia Berhad pada Mei tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan manfaat kepada ahli YGMB di sini. Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Azman Adnan dan Pengerusi YGMB, Aminudin Adam.

Menurut Wan Munadi, sepanjang tahun lalu pula, pihaknya telah meluluskan tuntutan manfaat bagi pelbagai penyakit yang dibuat ahli berjumlah RM3.19 juta yang menyaksikan peningkatan RM1.2 juta berbanding 2023.

Tambahnya, daripada jumlah itu, lebih 50 peratus merupakan tuntutan yang dibuat bagi ahli yang menghidap penyakit kritikal seperti kanser, strok dan kematian disebabkan penyakit kritikal.

“Rawatan di hospital swasta memang cepat tetapi bayarannya pula agak tinggi. Jika ingin mengambil insurans luar, kita lihat bayaran premiumnya pula turut melambung. Lebih teruk lagi ada antara kita yang terpaksa menamatkan polisi kerana sudah tidak mampu.

“Sebab itulah di samping membayar manfaat kebajikan, kita turut menitipkan pesanan kepada guru-guru supaya menjaga kesihatan melalui pengawalan pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubat,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, YGMB bukan hanya sekadar sebuah entiti kebajikan tetapi antara rakan strategik utama KPM dalam usaha menyantuni guru, melindungi kepentingan mereka dan menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan warga pendidik.

“Dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar, profesion keguruan menuntut segala kudrat dan pemikiran dalam usaha memastikan pelajar tidak ketinggalan sepanjang mereka menuntut ilmu. 

“Ketika guru-guru mencurahkan segalanya, jangan kita lupa bahawa kebajikan mereka juga perlu dijaga melalui manfaat-manfaat dan perkhidmatan perlindungan seperti yang disediakan oleh pihak YGMB,” katanya.

Sehubungan itu, Azman menyarankan agar guru-guru seluruh negara mengambil peluang untuk menyertai YGMB bagi menikmati segala manfaat yang disediakan untuk warga pendidik ketika berkhidmat, mahupun pasca perkhidmatan.

Dalam pada itu, Aminudin berkata, banyak usaha telah dilakukan sepanjang 2024 untuk menyebarluaskan peranan YGMB seperti penyampaian manfaat, program anti-scam dan buli, kerjasama dengan penerbit filem, jelajah ziarah kasih, mewujudkan skim baharu, peningkatan nilai manfaat dan lain-lain.

“Segala kemudahan ini tidak datang dengan mudah. Ia terhasil melalui pelbagai rintangan dan cabaran yang perlu kita tempuhi demi YGMB,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |