BALIK PULAU – Seorang operator kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menceroboh kediaman milik seorang pempengaruh dan juga usahawan, Isnin lalu.
Tertuduh, Noor Mohafirul Mohamad, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa telah melakukan pencerobohan jenayah dengan menceroboh masuk ke rumah milik Muhammad Faris Azri Md. Hanif, 26, yang digunakan sebagai tempat kediaman dengan niat untuk menggusarkan penghuni rumah tersebut di Lorong Kekabu, Bayan Lepas, kira-kira pukul 6.55 pagi, 4 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 448 Kanun dengan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani manakala tertuduh diwakili Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Edmund Anthony Hermon.
Dalam prosiding, Lushani memohon jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, manakala Edmund pula merayu jaminan tersebut dikurangkan.
“Tertuduh yang bekerja kilang memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan dan masih menanggung kedua ibu bapanya. Mohon jaminan minimum,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 25 September depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, media melaporkan suspek ditangkap oleh penghuni rumah berkenaan selepas berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal dipercayai selipar miliknya.
Kejadian tersebut turut tular di media sosial selepas mangsa memuat naik video suspek yang dikatakan selamba memasuki kediamannya sebelum melarikan diri. – KOSMO! ONLINE