Pemilik anjing pukul ‘Lucky’ didenda RM30,000

1 week ago 11

AMPANG – Tindakan seorang lelaki yang memukul anjing jantan peliharaannya yang digelar ‘Lucky’ secara bertubi-tubi menggunakan rotan kayu dan getah paip membawa padah apabila dia didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Norshila Kamarudin menjatuhkan hukuman denda itu selepas Kiew Mun Kiat, 43, selaku orang kena saman (OKS) mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Sekiranya OKS gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama enam bulan dan OKS membayar denda berkenaan.

Mahkamah juga turut memerintahkan haiwan itu dilucut hak kepada kerajaan untuk tujuan pengangkatan kepada orang awam yang layak dan berminat.

Mengikut pertuduhan, OKS yang bekerja sebagai penyelenggara pendingin hawa itu didakwa dengan kejamnya telah memukul anjing jantan baka Jerman Sherpherd dengan menggunakan rotan kayu dan getah paip berwarna kuning secara bertubi-tubi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan rumahnya di Jalan Pandan Indah di sini antara pukul 5.29 petang hingga 5.41 petang pada 31 Julai lalu (2025) yang didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum dibawah seksyen yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu OKS yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan menanggung keluarga selain memaklumkan tindakannya memukul anjing itu adalah untuk mengajar.

“Saya mahu ajar dia sebab dia gigit tangan saya, mohon hukuman rendah ,” katanya.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor, Mohd. Sharif Sabran memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengutamakan kepentingan awam.

“Pihak pendakwaan mohon mahkamah mengambil kira keseriusan kes berkaitan penganiayaan haiwan apabila dalam kes ini OKS memukul anjingnya bertubi-tubi dengan kesan kecederaan yang boleh mendatangkan trauma kepada haiwan tersebut.

“Pihak pendakwaan juga memohon supaya anjing itu dilucut hak kepada kerajaan untuk tujuan pengangkatan kepada orang awam yang layak dan berminat melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan lelaki itu telah dirakam penduduk sekitar rumahnya menggunakan telefon bimbit sebelum dimuat naik dan tular di beberapa rangkaian media sosial.

Bertindak atas maklumat dan aduan awam, sepasukan Pegawai Kebajikan Haiwan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor dan sepasukan pegawai serta anggota polis telah menjalankan pemeriksaan di rumah OKS.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seekor anjing jantan Jerman Sherpherd bernama ‘Lucky’ dalam keadaan diikat, satu batang rotan dan satu unit paip getah di kawasan perkarangan rumah terbabit.

Hasil pemeriksaan fizikal yang dijalankan terhadap anjing itu pada 1 Ogos lalu, mendapati terdapat luka pada bahagian hadapan kaki kiri dengan keguguran bulu setempat serta kemerahan pada kulit. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |