KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan kebajikan keluarga Allahyarham Koperal Mohd. Hafizul lzham Mazlan yang terkorban ketika menjalankan tugas menangkap suspek semalam akan diberi perhatian sepenuhnya.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan segala urusan termasuk pembayaran gratuiti, ex-gratia, ganjaran dan sumbangan kepada waris Allahyarham disalurkan dengan segera.
“Saya memberi jaminan bahawa kebajikan keluarga Allahyarham Koperal Mohd. Hafizul lzham akan diberi perhatian sepenuhnya.
“Urusan pengurusan jenazah dan pengebumian Allahyarham juga akan diuruskan oleh pihak PDRM dengan penuh penghormatan yang sewajarnya dengan jasa bakti beliau kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Saifuddin Nasution berkata, beliau berasa dukacita menerima berita pemergian Allahyarham Koperal Mohd. Hafizul Izham yang terkorban ketika menjalankan tugas di Alor Setar, Kedah semalam.
Katanya, beliau bagi pihak KDN menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan ia satu kehilangan besar buat PDRM dan negara.
Menurut beliau, Allahyarham Koperal Mohd. Hafizul lzham merupakan cerminan keberanian dan semangat juang tinggi anggota barisan hadapan menjaga keselamatan dalam negara.
Ujar beliau, Mohd. Hafizul lzham yang tidak gentar berdepan risiko demi memastikan keselamatan awam terpelihara adalah sesuatu yang amat dihargai dan sanjungi.
Tegas beliau, pengorbanan seperti itu menjadi inspirasi kepada semua barisan anggota keselamatan negara dan mencerminkan nilai-nilai luhur dalam perkhidmatan PDRM.
“Saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Allahyarham Koperal Mohd Hafizul lzham atas khidmat bakti beliau yang tidak ternilai.
“Terima kasih juga kepada seluruh warga PDRM atas semangat setia dan pengorbanan mereka yang tidak pernah luntur dalam memastikan keselamatan negara terus terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE