Pemandu tersepit, lori muatan batu rempuh benteng pasir

2 hours ago 4
Keadaan lori muatan batu dipandu mangsa selepas merempuh benteng pasir di Kuala Betis, Gua Musang hari ini. FOTO IHSAN POLIS
  • Oleh AIMUNI TUAN LAH
  • 4 Ogos 2025, 5:40 pm

GUA MUSANG – Seorang lelaki maut selepas lori muatan batu yang dipandunya terbabas sebelum merempuh benteng pasir di Jalan Kuari Mahsari dekat Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Mohd. Farid Amarudin, 37, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di tempat duduk lori jenis Isuzu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, siasatan awal mendapati, mangsa sedang dalam perjalanan keluar dari jalan kawasan kuari ke jalan utama.

Katanya, semasa sedang menuruni bukit, lori muatan batu dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar benteng pasir.

“Mangsa dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri dan tersepit di dalam lori berkenaan. Lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Choon Foo berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |