PETALING JAYA – Mengimbau perjalanan awal karier seni, pelakon Nelissa Nizam mendedahkan pernah dimarahi aktres senior apabila mahu bergambar ketika masih bergelar pelakon tambahan.
Menurut Nelissa atau nama sebenarnya Nelissa Edreena Nizam, 27, insiden itu masih terpahat dalam ingatan kerana figura senior terbabit amat dikaguminya, apatah lagi wajah pelakon itu mirip arwah neneknya.
“Saya pernah lalui satu pengalaman menyedihkan. Saya memang minat sangat dengan seorang artis senior ini. Wajah dia saling tak tumpah macam orang yang sangat penting dalam hidup saya.
“Saya minta nak bergambar. Tapi dia marah. Marah yang betul-betul marah. Saya terus menangis sebab terkejut dan terasa hati sangat.
“Masa itu saya masih pelakon tambahan dan berada dalam produksi sama,” katanya kepada Kosmo! Online.
Meskipun insiden itu meninggalkan kesan mendalam, pelakon Martabat: Misi Berdarah itu tidak menyimpan dendam, sebaliknya cuba memahami keadaan ketika itu yang mungkin tidak sesuai untuk diganggu.
“Tapi saya tidak salahkan dia. Saya faham, mungkin ketika itu dia tengah bersiap. Ada banyak babak nak dilakukan. Jadi mungkin waktu saya minta bergambar itu tidak sesuai.
“Sebenarnya dia seorang yang baik. Cuma mungkin tak kena masa. Sekarang apabila saya dah ada watak besar dan berlakon semula dengan dia, semuanya okey saja. Kami baik.
“Saya masih minat dan hormat dia. Dia seorang yang besar dalam industri, dia legenda. Semua orang tahu siapa dia. Tetap pandang tinggi pada dia,” ujarnya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Hextar World dan 10Star Cinemas, baru-baru ini.
Mengambil iktibar daripada kejadian tersebut, bekas anggota The Gadis itu berikrar tidak akan sekali-kali melayan orang lain sebagaimana dia pernah diperlakukan dulu.
“Daripada pengalaman sebagai pelakon tambahan dulu, saya berjanji takkan buat orang macam itu. Saya betul-betul pegang janji tu.
“Sebab perasaan ketika itu sangat tidak seronok. Semangat akan hilang. Jadi saya doa agar saya takkan pernah ulang perbuatan sebegitu kepada sesiapa,” luahnya.
Dalam perkembangan lain, Nelissa kini sibuk mempromosikan filem dibintanginya berjudul Impak Maksima 2 arahan Ahmad Idham yang dijadual menemui penonton di pawagam pada 17 Julai ini.
Filem aksi itu turut dibintangi Zul Huzaimy, Datuk Seri Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar, Muhsin Nadzli dan Fad Bocey. – KOSMO! ONLINE