KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil langkah penambahbaikan berhubung aspek keselamatan membabitkan pengangkutan dan kenderaan yang digunakan anggota ketika operasi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia susulan Laporan Awal Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan (MOT)yang dikeluarkan, semalam.
“Sebenarnya wakil kita ada di dalam jawatankuasa tersebut dan cadangan tertentu sedang diteliti terutama penggunaan dan susun atur tempat duduk dengan betul,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-90 Koperasi PDRM Berhad 2025, di Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini.
Razarudin berkata, penggunaan trak untuk murid sekolah juga sedang dibincangkan di peringkat Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
Menurutnya, terdapat beberapa aspek keselamatan turut diteliti antara lain membabitkan tali pinggang keledar dan barangan operasi.
“Selain itu, kalau kita tengok keadaan bencana tersebut, barangan (operasi) yang diangkut bersama anggota ada di dalam trak. Itupun kita akan asingkan.
“Sepatutnya peralatan yang dibawa di dalam kenderaan itu bukan berada di dalam (trak) kerana itu bukannya perjalanan untuk membuat operasi,” jelasnya.
Terdahulu, laporan awal sebanyak 146 muka surat itu menjelaskan muatan lebih yang dibawa lori tipper turut menjadi punca kepada nahas yang meragut sembilan nyawa anggota SimpananPersekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak bulan lalu.
Punca tersebut adalah berdasarkan laporan teknikal kenderaan Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Berdasarkan laporan itu, trak FRU pula didapati tidak mempunyai tali pinggang keledar di setiap tempat duduk yang ada pada kenderaan. – KOSMO! ONLINE