Pas, Dr Akmal gagal kemuka alternatif pacu pelancongan negara

4 hours ago 6

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggesa Pas dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh supaya tidak hanya membantah penganjuran acara pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Sebaliknya Pas dan Dr Muhamad Akmal diminta tampil dengan cadangan lebih konstruktif bagi merancakkan sektor pelancongan negara.

Teresa berkata kedua-dua pihak perlu mengemukakan alternatif yang mampu menarik kemasukan pelancong asing serta merangsang ekonomi tempatan jika tidak bersetuju dengan penganjuran festival hiburan seperti Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang.

Beliau berkata, menghairankan apabila kedua-dua pihak yang lantang menolak program tarikan pelancong ini gagal mengemukakan sebarang alternatif yang konstruktif untuk memacu industri pelancongan negara.

“Pas dan Dr. Akmal perlu berpijak di bumi nyata. Majoriti pelancong asing melawat Malaysia untuk berehat, mencari hiburan, dan merasai kemeriahan budaya bandar raya. Mereka datang bukan untuk terikat dengan sekatan moraliti yang melampau.

“Jika mereka tidak bersetuju dengan penganjuran konsert jalanan atau festival muzik, maka mereka bertanggungjawab membentangkan program lain yang mampu membawa masuk berjuta-juta pelancong,” katanya di Facebook.

Teresa turut berkata rekod pentadbiran Pas dalam sektor pelancongan juga membimbangkan, dengan merujuk kepada kemerosotan industri pelancongan di Langkawi yang menurutnya tidak wajar dijadikan contoh untuk negara.

“Jangan jadikan Malaysia sebuah negara yang lesu pelancongannya seperti mana berlaku di Langkawi akibat imej dan dasar sempit.

“Fokus kita sekarang sepatutnya pertumbuhan ekonomi dan kejayaan VM2026, bukannya politik bantahan berasaskan kaum dan agama yang hanya menjauhkan pelabur serta pelancong,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Pemuda Pas Selangor, Sukri Omar dilaporkan membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 kerana didakwa tidak mencerminkan identiti Malaysia, manakala Dr. Akmal pula mempersoalkan kewajaran festival itu diteruskan ketika kerajaan perlu berjimat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |