Kapal baharu TLDM serba moden, perlukan warga kerja berkemahiran

4 hours ago 5

LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini sedang berada dalam fasa transisi ke arah pemodenan aset melalui Program Transformasi 15 to 5.

Panglima Armada Barat TLDM, Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md. Nor berkata, justeru, dalam masa terdekat ini TLDM bakal menerima lima buah kapal tempur pesisir pantai (LCS) buatan tempatan dan tiga buah kapal misi pesisir (LMS) daripada Turkiye.

“Seterusnya, kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) yang kini sedang dalam proses perolehan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Kepulangan KD Lekir di Tambatan Pangkalan Lumut, Pangkalan TLDM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan orang ramai mengenai aspek pemilihan KD Lekir bagi Lekir Australia Deployment 2026 (LEAD ’26).

“Alhamdulillah, seperti yang anda lihat bertambat di hujung jeti pada hari ini adalah KD Maharajalela iaitu kapal LCS pertama yang bakal beroperasi selewat-lewatnya pada awal tahun hadapan.

“Kesemua kapal ini mempunyai keupayaan tinggi dari segi teknologi moden dan terkini, serta antara yang terbaik di rantau ini,” katanya.

Kapal-kapal ini juga, menurut Baharudin, memerlukan warga yang berpengetahuan, berkemahiran, berpengalaman dan mempunyai sikap kerja yang baik.

“Penglibatan dalam LEAD ’26 adalah sebahagian daripada persediaan TLDM bagi memenuhi keperluan ini dan menentukan sumber manusia TLDM bersedia untuk mengoperasikan aset-aset pada masa hadapan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, KD Lekir berjaya melaksanakan pelayaran di benua Australia dengan selamat pada LEAD ’26 selama 67 hari tanpa sebarang kerosakan kritikal.

“Dengan jarak pelayaran mencecah 10,635 batu nautika, sebanyak tujuh perairan utama iaitu Laut Jawa, Laut Timor, Laut Arafura, Laut Coral, Laut Tasman, Great Australian Bight serta Lautan Hindi telah berjaya diharungi KD Lekir dengan selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |