UMNO sedia serah kepimpinan kepada generasi baharu – Ahmad Zahid

23 hours ago 6

KUALA LUMPUR – UMNO memberi isyarat peralihan kepimpinan dengan membuka ruang kepada generasi baharu, sementara pemimpin sedia ada memperkukuh asas parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak berhasrat untuk terus menerajui parti dalam tempoh panjang, sebaliknya mahu melihat anak muda mengambil alih peranan tersebut.

“20 tahun daripada sekarang kita akan merayakan ulang tahun UMNO yang ke-100, saya tidak tahu siapa yang jadi Presiden UMNO ketika itu yang pasti saya tidak berhajat (untuk meneruskan), Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) saya tidak pasti.

“Kita serahkan kepada anak-anak muda untuk memimpin UMNO, zaman kita akan berlalu. Serahkan kepada mereka untuk menentukan bahawa 20 tahun akan datang, UMNO akan tetap terus kukuh dalam persada politik tanah air,” katanya ketika membuat ucapan penggulungan pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan tanggungjawab pemimpin masa kini adalah memastikan asas parti diperkukuhkan agar dapat diwarisi dengan kukuh oleh generasi seterusnya.

“Kita pemimpin sekarang mesti mempersiapkan UMNO dengan teras yang kemas agar generasi masa hadapan dapat menjadikannya sebagai landasan kukuh untuk berbakti dan berkhidmat pada ummah dan negara.

“Ini saya juga akan letakkan kepada alumni Sekolah Patriotik UMNO (SPU) untuk melaksanakan perkara ini,” ujarnya.

Beliau berkata, kekuatan parti bukan sahaja bergantung kepada struktur organisasi, malah turut melibatkan pembentukan nilai dan jati diri dalam kalangan generasi pewaris.

“Ini bukan hanya berkisahkan tentang memenangkan pilihan raya semata-mata tetapi untuk melahirkan pewaris bangsa yang penuh roh dan jiwa kemelayuannya.

“Kejayaan sesebuah perjuangan tidak hanya diukur pada kekuatan institusi tetapi kualiti manusia yang dibentuk untuk membina agama bangsa dan negara,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau turut menyuarakan harapan untuk melihat generasi Melayu masa depan yang berpegang teguh kepada agama, berakhlak tinggi serta mampu menjadi pencetus idea dan kekuatan kepada negara.

“Saya mengimpikan Melayu yang tidak luntur jiwa keislamannya, Melayu yang benar-benar memahami rukun agama dan tidak terpisah dari jasad serta rohnya.

“Saya mengimpikan anak-anak Melayu yang kental jati dirinya, menjaga maruah, tinggi adab dan mulia ahlaknya. Saya mengimpikan Melayu yang menjadi inventor, mencipta idea serta nilai.

“Saya mengimpikan Melayu yang bersepakat, menenun jaringan dan berpaut pada satu kekuatan. Saya mengimpikan Melayu yang menjadi ikutan, menjadi tunjang kepada negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |