KUALA LUMPUR – UMNO perlu menerima hakikat bahawa kedudukannya kini bukan lagi sebagai parti dominan, sebaliknya hanya memiliki kekuatan terhad yang memerlukan strategi baharu untuk bangkit semula.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kesedaran itu penting bagi memastikan parti dapat menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik semasa yang semakin kompetitif.
“Kita perlu sedar. Tetapi, tidak ada orang yang bangun sebelum sedar.
“Saya rasa dalam dewan ini kita seolah-olah berasa kita mempunyai kuasa mutlak, tetapi hakikatnya kita hanya ada 26 kerusi,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO, di sini hari ini.
Menurut beliau, UMNO kini berdepan cabaran besar susulan perubahan corak sokongan pengundi Melayu serta persepsi terhadap imej parti yang masih dalam proses pemulihan.
Katanya, realiti politik semasa menuntut UMNO untuk merangka pendekatan lebih segar dan relevan bagi mendapatkan semula kepercayaan rakyat.
“Ini semua adalah perkara yang perlu kita cari jalan penyelesaian bagaimana hendak bangkit.
“Kalau ikut sejarah mana-mana negara, untuk bangkit semula bukan perkara mudah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Johari turut mengakui persaingan politik semakin sengit apabila kemunculan parti baharu serta peralihan sokongan daripada parti tradisi menjejaskan kedudukan UMNO.
“Kita lihat bagaimana Bersatu mengambil pemimpin dan penyokong kita. Kita juga lihat bagaimana Pejuang lahir daripada bekas pemimpin UMNO. Begitu juga dengan Pas yang turut menerima penyokong yang tidak lagi bersama kita.
“Akhirnya, keadaan ini menjadikan landskap politik semakin kompetitif. Semua ini berpunca daripada konflik dalaman yang berlaku dalam UMNO sendiri,” jelasnya.
Beliau menambah, isu dalaman serta skandal lalu turut memberi kesan terhadap tahap kepercayaan rakyat, khususnya dalam kalangan pengundi muda yang kini lebih kritikal dalam menilai sesebuah parti.
“Perkara seperti ini mungkin boleh kita ‘wayang’ dalam kalangan sendiri, tetapi di luar sana, dalam tempoh masa tertentu, ia menyebabkan kepercayaan rakyat semakin terhakis,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
7



![[VIDEO] ‘Inilah istilah jatuh, bangun sendiri’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/TULAR-LORI-NAHAS.jpeg)










































