Liga Super: JDT pesta gol, belasah KL City 7-0

19 hours ago 7

ISKANDAR PUTERI – Juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) berpesta gol apabila membelasah Kuala Lumpur City FC 7-0 dalam aksi Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Skuad kendalian Xisco Munoz hampir membuka jaringan seawal minit kelima menerusi gerakan Corbin Ong, namun rembatan lemah Marcos Guilherme sedikit tersasar daripada sasaran.

JDT yang tampil penuh yakin terus mengasak kubu lawan dengan beberapa percubaan berbahaya, termasuk hantaran silang Oscar Arribas yang bagaimanapun gagal disempurnakan oleh Corbin Ong dan Ajdin Mujagic.

Kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-17 apabila sepakan bebas Ager Aketxe berjaya menewaskan penjaga gol lawan, Quincy Kammeraad untuk gol pembukaan.

Pasukan pelawat kendalian Risto Vidakovic cuba bangkit, namun penyerang utama mereka, Kpah Sherman, bergelut untuk menembusi benteng ampuh JDT yang dikawal Antonio Glauder dan Eddy Israfilov.

JDT terus menggandakan kelebihan pada minit ke-34 apabila Arribas menyudahkan hantaran Guilherme bagi meletakkan tuan rumah selesa mendahului 2-0 sebelum rehat.

Situasi semakin sukar buat KL City apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Dmytro Lytvyn dilayangkan kad merah oleh pengadil, Usaid Jamal akibat terjahan keras.

Memasuki babak kedua, JDT memanfaatkan kelebihan pemain dengan menambah jaringan menerusi Stuart Wilkin pada minit ke-72 hasil gerakan cantik melibatkan Yago Cesar dan Teto Martin.

Empat minit kemudian, Martin pula mencetak nama sebagai penjaring sekali gus menghadiahkan gol ke-100 JDT dalam saingan liga musim ini selepas menyempurnakan hantaran Mujagic.

JDT terus menggila pada penghujung permainan apabila Mujagic, Israfilov dan Manuel Hidalgo masing-masing menambah jaringan sebelum Hidalgo melengkapkan kemenangan bergaya 7-0 pada masa kecederaan.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |