PETALING JAYA – Penemuan bola milik dipercayai seorang kanak-kanak perempuan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras di Kondominium Sri Hijau, Bandar Mahkota Cheras di sini memberi petunjuk baharu dalam operasi pencarian mangsa.
Bapa saudara mangsa, Afiq Ahmad, 33, berkata, penemuan itu membawa harapan kepada keluarga ketika usaha mencari mangsa terus dipergiatkan.
“Malam tadi bomba akan sambung cari dari atas permukaan air sahaja. Mereka akan jalan atas tebing sungai dan suluh permukaan.
“Semoga ada sinar buat kami sekeluarga. Qaseh, balik tau…” katanya sebak kepada Kosmo! hari ini.
Menurutnya, setakat pagi ini keluarga masih belum menerima perkembangan terbaharu daripada pihak bomba, namun satu lokasi telah dikenal pasti semalam sebagai tumpuan pencarian.
Tambah beliau, usaha menyelam di lokasi tersebut berdepan kesukaran berikutan keadaan arus yang deras, air dalam serta keruh.
“Bila penyelam bomba turun, situasi tak lancar. Arus deras, dalam dan keruh,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan terdapat individu kampung yang mahir menyelam dipercayai berjaya mengesan satu tubuh, namun gagal mengeluarkannya kerana tersangkut pada akar kayu di dasar sungai.
“Semalam penyelam skuba potong akar di bawah air bagi keluarkan tubuh itu. Harap itu adalah Qaseh. Penyelam kampung itu rasa tubuh,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum,9 dikhuatiri hilang selepas terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras ketika mengambil bola dalam kejadian di Bandar Mahkota Cheras, Jumaat lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, pencarian operasi mencari dan menyelamat kini diperluaskan dengan tumpuan kepada sistem pembetungan bawah tanah di sekitar lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
7



![[VIDEO] ‘Inilah istilah jatuh, bangun sendiri’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/TULAR-LORI-NAHAS.jpeg)










































