PETALING JAYA – Tidak mempromosikan budaya luar, pelakon Beto Kusyairy menegaskan naskhah terbaharu lakonannya, Libang Libu bukan mengeksploitasi watak lelaki berperwatakan lembut.
Ujar Beto atau nama asalnya Nur Kusyairy Zakuan Osman, 46, kewujudan watak sedemikian dalam filem hanyalah satu bentuk cerminan realiti yang wujud dalam kalangan masyarakat hari ini.
“Bukan dalam industri kita sendiri sebenarnya tetapi dalam kalangan masyarakat. Filem ini adalah sebuah cerminan kepada masyarakat.
“Betul ada kritikan-kritikan sosial dalam naratif tapi kita tak nak terlalu berdakwah, maksudnya terlalu kasar. Jadi kita sampaikan dalam bentuk yang santai dan kalau orang dapat, dapatlah.
“Kalau orang rasa macam ‘terjentik’, terjentiklah, tapi tiada niat lain, kita nak menghiburkan orang dalam keadaan dunia sekarang,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Mengulas lanjut kegusaran segelintir pihak, pelakon filem Imaginur itu menjelaskan watak itu tidak bermaksud industri cuba menormalisasikan gaya hidup songsang atau agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Sebaliknya, Libang Libu cuba memberi ruang kepada penonton untuk memahami perspektif golongan berkenaan yang sering kali bergelut dengan identiti diri tanpa memilih untuk menjadi sebegitu.
“Saya tak nampak daripada sudut (tarik perhatian) sebab watak-watak sebegini wujud dalam kalangan kita dan tidaklah bermaksud untuk normalkan benda itu.
“Tapi kita bagi daripada perspektif mereka, apa yang mereka rasa bukan itu yang mereka nak dan kita tak nak promosikan LGBTQ.
“Dalam Libang Libu sendiri kita dah terangkan dia berumah tangga, bukan minta dilahirkan begitu. Dia normal cuma perwatakan lembut, tidak berhaluan kiri pun.
“Kita cuba nak buka perspektif masyarakat supaya jangan terus menghukum, walau apa sekalipun dia tetap manusia,” ujarnya lagi.
Menerusi filem arahan pengarah Bobby Husaini, watak lelaki lembut digerakkan Zahiril Adzim sebagai Amier Daniel, Sabri Yunus (Pok Yie) dan Azhan Rani yang memegang karakter jurusolek.
Sejak mula ditayangkan pada 23 April lalu, Libang Libu terus mendapat sambutan hangat apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM7.5 juta selepas lebih seminggu menemui penonton di pawagam. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
7



![[VIDEO] ‘Inilah istilah jatuh, bangun sendiri’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/TULAR-LORI-NAHAS.jpeg)










































