New Energy Asia tawar teknologi pengecasan EV termaju

19 hours ago 9

KUALA LUMPUR – New Energy Asia Sdn. Bhd. (New Energy Asia), usaha sama antara HICOM Engineering Sdn. Bhd. (HESB) dan Hangzhou Flash Charging New Energy Co Ltd. (HFC) hari ini memperkenalkan rangkaian peralatan pengecasan kenderaan elektrik (EV) berteknologi tinggi untuk pasaran Malaysia dan ASEAN.

HESB merupakan anak syarikat DRB-HICOM Berhad, manakala HFC adalah subsidiari Lotus Technology Inc.

Syarikat usaha sama baharu itu bakal mempunyai hak eksklusif bagi pemasaran peralatan pengecasan EV berjenama Lotus di rantau ASEAN.

Pengerusi HESB merangkap Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, New Energy Asia akan mengedar pelbagai peralatan pengecasan EV berjenama Lotus yang dihasilkan oleh HFC, termasuk pengecas DC (arus terus) 450 kilowatt (kW) sejukan cecair yang mampu mengecas model EV Lotus Emeya daripada 10 peratus kepada 80 peratus dalam hanya 14 minit.

“Selain itu, syarikat ini turut menawarkan pengecas AC (arus ulang alik) pintar 7kW, 11kW dan 22kW yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pengguna, selain pengecas DC sejukan udara 30 hingga 240 kW serta pengecas DC sejukan cecair berkapasiti 300 hingga 450 kW.

“New Energy Asia juga akan membekalkan sistem penyimpanan tenaga termaju bagi memenuhi permintaan penyelesaian tenaga mampan untuk kegunaan domestik dan komersial,” katanya pada majlis pengenalan kerjasama berkenaan, yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah melihat kemudahan pengecasan EV berjenama Lotus yang dipamerkan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi HICOM Engineering, Hazrin Fazail Haroon berkata, HFC di bawah Kumpulan Lotus berpengalaman luas dalam pembangunan pengeluar peralatan tulen (OEM) kenderaan dan kini memfokuskan kepakaran mereka kepada teknologi pengecasan.

“Ketika ini, pasukan kami sedang menjalani latihan di HFC China bagi mendalami teknologi pengecasan AC dan DC. Sekiranya berlaku sebarang isu di Malaysia, sokongan teknikal akan diberikan secara dalam talian oleh pasukan di China,” ujarnya.

Menurut beliau, pada peringkat awal, syarikat akan mengimport peralatan siap bina (CBU) sebelum memindahkan teknologi dan memulakan pengeluaran tempatan, termasuk pembangunan perisian.

“Dari segi operasi, kami tidak akan bertindak sebagai pengendali stesen pengecasan (CPO), sebaliknya membekalkan peralatan serta bekerjasama dengan syarikat CPO sedia ada secara perniagaan ke perniagaan (B2B).

“Bagi pengeluaran tempatan, kami sedang menilai fasa kedua pembangunan dalam tempoh satu setengah hingga dua tahun, bergantung kepada perkembangan pasaran dengan memanfaatkan program Kenderaan Pandu Sendiri dan Terhubung (AHDV) serta kemudahan di Tanjung Malim,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |