PUTRAJAYA – Pelakon Sophia Albarakbah memilih untuk tidak menghiraukan dakwaan wujud suasana kekok dan dingin antara dirinya dengan penyanyi Bella Astillah ketika sama-sama berada di pentas Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025), malam tadi.
Sophia atau nama sebenarnya Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 32, berkata dia tidak menyimpan sebarang prasangka terhadap Bella, sebaliknya lebih fokus kepada penghargaan diterima apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Selebriti Feminin Terhangat.
“Bagi saya, okey sahaja. Kami berada dalam industri sama, jadi tak perlu pun nak fikir bukan-bukan.
“Terus terang, saya masih dalam fasa terkejut sebab tak sangka boleh menang. Saya tak pernah rasa diri saya yang paling ‘feminin’ pun.
“Mungkin cara Bella sampaikan anugerah nampak begitu, tapi saya tak anggap itu satu sindiran. Saya bersyukur sangat dengan pengiktirafan ini,” katanya pada sidang media selepas selesai majlis AMT 2025 yang berlangsung di sini, hari ini.
Pada malam tadi, Bella yang muncul di pentas untuk menyampaikan anugerah kategori Selebriti Feminin Terhangat didakwa kurang selesa ketika menyebut nama Sophia sebagai pemenang, sekali gus mencetuskan tanda tanya ramai pihak tentang hubungan sebenar mereka.
Menguatkan lagi dakwaan, Bella juga terus menghilangkan diri selepas acara tamat dan langsung tidak muncul di bilik sidang media walaupun memenangi kategori Selebriti Couple Goals Terhangat bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
Tindakannya menggandakan lagi spekulasi netizen yang menyifatkan wujud ‘perang dingin’ antara kedua-dua selebriti berkenaan.
Namun Sophia mengambil langkah profesional dengan tidak melayan sebarang provokasi yang berpotensi mencetuskan salah faham dalam kalangan peminat.
Malam tadi, momen kedua-dua selebriti panas di atas pentas menerima perhatian luar biasa daripada netizen apabila masing-masing dilihat tidak saling berpandangan, apatah lagi berinteraksi secara mesra seperti kebiasaan rakan selebriti lain.
Netizen dalam media sosial menyifatkan suasana ketika penyampaian trofi tersebut sebagai ‘awkward’, malah ada yang mendakwa Bella kelihatan ‘terpaksa’ mengumumkan kemenangan Sophia.
Untuk rekod, sekitar Januari tahun lalu, nama Sophia pernah dikaitkan sebagai orang ketiga dalam kemelut rumah tangga Bella dan Aliff Aziz.
Bella turut mendedahkan mesej peribadi yang menunjukkan permohonan maaf daripada Sophia ketika kontroversi tersebut meledak di media sosial.
Pasangan selebriti itu akhirnya disahkan bercerai talak satu pada 13 Jun lalu selepas mendirikan rumah tangga sejak 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrian dan Ara Adreanna. – KOSMO! ONLINE.