AMPANG JAYA – Bau busuk yang menghantui penduduk sejak Isnin lalu, terbongkar susulan penemuan mayat seorang wanita warga emas di sebuah rumah teres dua tingkat di Pandan Indah, di sini, semalam.
Mangsa yang berusia 76 tahun itu ditemui penduduk dalam keadaan terbaring di lantai serta ditutupi dengan kain kira-kira pukul 6.30 petang.
Seorang jiran dikenali Asyraf, 32, berkata, bau busuk itu mula disedari oleh keluarganya selepas pulang dari kampung sempena cuti Hari Raya Aidiladha.
“Saya mula perasan bau busuk itu pada pukul 2 pagi (Isnin). Saya ingatkan bangkai dan mula mencari punca bau busuk di sekitar rumah.
“Sebelum ini memang pernah ada bangkai kucing dan tikus, jadi saya tak syak apa-apa. Selepas dua tiga hari, saya tak boleh tahan sampai sakit kepala,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Sehubungan itu, Asyraf berkata, dia dan bapanya nekad untuk mencari punca bau busuk dan mula memeriksa rumah mangsa.
Katanya, arwah dikatakan tinggal bersama anak bongsunya yang berusia lingkungan 40-an di rumah berkenaan.
“Mula-mula kami nak cari waris dulu dan saya pun tunggu anak dia balik untuk periksa kalau ada bangkai haiwan tapi sehingga semalam, anak arwah tak balik ke rumah.
“Jadi, petang semalam, kami perasan mangga pagar dan pintu tidak berkunci. Kami cuba masuk sebelum ternampak mangsa terbaring di lantai dan mayatnya ditutup dengan kain,” jelasnya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan polis mengesahkan penemuan mayat seorang wanita warga emas di sebuah rumah di Pandan Indah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian sekitar pukul 6.30 petang.
“Bedah siasat akan dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 5 petang, hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE