SHAH ALAM – Kegiatan sindiket memproses vape berisi dadah dan penjualan bahan terlarang di kedai terbongkar menerusi dua serbuan berasingan di Klang dan Sungai Buloh, Selasa lalu.
Dalam serbuan selama dua hari itu berjaya menahan 11 suspek termasuk empat wanita warga asing berusia 21 hingga 38 tahun.
Sepanjang serbuan juga polis telah merampas cecair dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin dianggarkan RM5.1 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan terhadap sindiket pemprosesan vape tersebut mendapati telah aktif sejak enam bulan lalu dengan kilang itu disewa RM4,000 sebulan dengan seorang warga asing.
Katanya, lelaki warga asing itu datang ke negara ini dengan berurusan dengan pengurus kilang itu termasuk mengajar memproses vape mengandungi dadah.
“Lelaki warga asing itu juga membekalkan bahan mentah cecair dadah sebelum pengurus itu mengubah 10 warga asing lain sebagai pekerjanya.
“Pemasaran vape dadah ini adalah secara kurier kepada individu menjalankan perniagaan secara runcit selain menjual ke negara jiran melalui jalan darat,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Menurutnya, sindiket itu mampu memproses sehingga 100,000 pod atau katrij berisi dadah sebulan.
Katanya, hasil serbuan berjaya merampas 4600 pod can 158 tong plastik berisi cecair jenis amphetamine dengan anggaran isipadu 864,600 mililiter (ml) dan ketamin 650,000 ml bernilai RM4.9 juta.
“Lelaki warga asing itu kini dalam buruan polis. Kita percaya ada kaitan (dengan kejayaan kes dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sebelum ini).
“Namun masih dalam siasatan membuktikan sama ada lelaki itu warga Taiwan atau berhampiran negara itu dan penglibatannya dengan sindiket ini, ” katanya.
Hussein berkata, hasil serbuan di kedai vape di Klang pula menahan lelaki tempatan yang merupakan penjual dengan merampas 663 katrij dadah jenis methamphetamine dengan anggaran 1,260ml bernilai RM199,000 melibatkan rampasan
“Vape berisi dadah itu dijual pada harga RM300 dan tiada sebarang kata kunci jualan antara penjual dan pembeli. Pembelian pula secara walk-in dan kita percaya dijual kepada sesiapa termasuk pelajar.
“Premis itu boleh jual 40 hingga 60 katrij sehari dan telah beroperasi sejak empat tahun lalu,” jelasnya.
Kesemua mereka kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. – KOSMO! ONLINE