Masih ada premis di Pulau Pinang gagal patuh Akta 852

1 week ago 10

SEBERANG PERAI – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi tempoh sehingga 30 September ini kepada pengusaha premis untuk mematuhi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), sebelum penguatkuasaan sepenuhnya pada 1 Oktober nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, pemantauan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang mendapati sebahagian premis sudah mematuhi peraturan termasuk mempamerkan notis larangan merokok dan vape serta maklumat berkaitan perkhidmatan berhenti merokok.

Katanya, masih terdapat premis yang gagal memenuhi syarat, terutamanya dari segi susun atur dan penggunaan rak atau almari pameran produk merokok yang tidak menepati spesifikasi ditetapkan di bawah akta tersebut.

“Notis peringatan telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang terlibat supaya mereka mengambil tindakan segera sebelum tamat tempoh pada hujung September,” katanya kepada media selepas menyertai Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Medan Selera R&R Bandar Cassia dan Pusat Komersial Borealis di sini, hari ini.

Menurut Gooi, pihaknya kini masih berada dalam fasa advokasi bagi memberi ruang dan masa kepada pengusaha untuk membuat penambahbaikan.

Namun, beliau menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun akan diambil terhadap mana-mana premis yang gagal mematuhi syarat selepas tarikh akhir tersebut.

Setakat 5 Ogos, sebanyak 2,647 kompaun telah dikeluarkan oleh JKN Pulau Pinang atas kesalahan merokok di premis makanan, manakala 137 notis telah diserahkan kepada pemilik premis kerana tidak mempamerkan tanda larangan merokok.

“Selain aspek penguatkuasaan, program ini juga menitikberatkan pemerkasaan komuniti, dengan tujuan mendidik dan melibatkan masyarakat secara langsung dalam usaha menjaga kebersihan dan kesihatan awam,” katanya.

Beliau turut menyeru kerjasama semua pihak dalam menjayakan pelaksanaan Akta 852, seterusnya mewujudkan persekitaran yang bebas asap rokok dan lebih sihat untuk semua.  – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |