Lokasi nahas penunggang basikal warga Singapura dibaiki serta-merta – KKR

10 hours ago 6

PETALING JAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengarahkan kerajaan negeri untuk melaksanakan kerja pembaikan kualiti pavemen serta-merta di lokasi nahas yang mengorbakan seorang penunggang basikal di Jalan Gunung Pulai, Kulai, Johor semalam.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembaikan itu akan dilaksanakan menerusi kaedah R01 (tampalan) serta kerja ‘grading’ semula bahu jalan sebagai langkah awal dan segera.

Ia kemudian katanya, diikuti dengan pembaikan secara menyeluruh sebaik sahaja peruntukan diterima.

“Untuk makluman, jalan tersebut J165 adalah jalan negeri di bawah penyeliaan Kerajaan Negeri Johor di mana peruntukan tahunan penyelenggaraan disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri melalui MARRIS (Malaysian Road Records Information System).

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kerosakan pada permukaan jalan berbentuk retakan “crocodile cracks”, dipercayai berpunca daripada penggunaan kerap oleh kenderaan berat, khususnya lori-lori dari kawasan kuari berdekatan.

“Walaupun kerja-kerja menaik taraf bahu jalan melalui proses grading telah dilaksanakan pada awal tahun ini, kesan beban berlebihan menyebabkan kerosakan kembali berlaku dengan cepat,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexander menyeru semua pihak yang menguruskan penyenggaraan jalan untuk terus bekerjasama dalam memastikan jalan raya dalam kualiti yang selamat dan selesa bagi mengurangkan insiden kemalangan jalan raya terutama yang melibatkan nyawa.

“Saya juga ingin menasihati semua penunggang basikal, khususnya mereka yang mengayuh di jalan raya awam, agar sentiasa mengutamakan keselamatan. Elakkan menggunakan jalan yang kerap dilalui oleh kenderaan berat dan besar.

“Pilihlah waktu yang sesuai dan selamat seperti awal pagi pada hujung minggu. Pastikan penggunaan kelengkapan keselamatan seperti topi keledar serta lampu reflektif sentiasa dipatuhi. Patuhi peraturan jalan raya, elakkan penggunaan telefon bimbit ketika berkayuh dan pastikan kenderaan yang digunakan sentiasa dalam keadaan baik,”nasihatnya.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, seorang warga Singapura, yang terlibat dalam insiden kemalangan tragis semasa berbasikal semalam.

Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan, seorang warga Singapura maut dipercayai terjatuh selepas basikal yang ditunggangnya melanggar lubang di jalan tersebut sebelum dirempuh sebuah treler dalam perjalanan ke Singapura membawa muatan batu.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |