Lima lokasi catat suhu terpanas

5 hours ago 4

SHAH ALAM – Sebanyak lima lokasi di negara telah mencatatkan suhu terpanas selama tiga hari berturut-turut sehingga semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, antaranya Bandar Baharu (Kedah), Selama (Perak), Temerloh (Pahang), Limbang (Sarawak) dan Tenom serta Pitas (Sabah).

Beliau berkata, kepanasan yang luar biasa ialah apabila suhu di sesuatu kawasan itu mencapai 35 hingga 37 darjah Celsius.

“Kita akan memantau melalui Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sama ada kawasan-kawasan berkenaan memerlukan bantuan seperti operasi pembenihan awan.

“Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah kawasan-kawasan reservoir atau tadahan air untuk keperluan domestik dan juga keperluan industri serta pertanian ini menjadi keutamaan dan InsyaAllah saya sendiri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara akan memantau bersama-sama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), MetMalaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Tentera Udara Malaysia (TUDM) untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Operasi Pembenihan Awan empangan Bukit Merah, Perak di Lapangan Terbang TUDM Subang, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, terdapat kira-kira 3,300 telaga tiub telah disediakan bagi persediaan menghadapi kebakaran terutama di kawasan tanah gambut susulan cuaca panas.

“Ketika ini, musim monsun barat daya yang sedang berlaku dijangka hingga pertengahan Oktober menyebabkan kekurangan hujan dan peningkatan suhu.

“Apa yang kita sedang lakukan bagi mengelakkan kebakaran terutama di kawasan tanah gambut ialah kini terdapat kira-kira 3,300 telaga tiub yang telah sedia dan saya telah mengarahkan pihak bomba untuk membersihkan dan melakukan operasi jika diperlukan,” katanya.

Katanya, pihaknya turut meminta supaya pihak berwajib seperti jabatan kesihatan agar bersiap-sedia di kawasan yang mengalami kepanasan melampau bagi memberi penerangan kepada orang awam.

“Supaya dapat dielakkan aktiviti di luar rumah terutamanya dalam kalangan anak-anak sekolah.

“Penyelarasan dilakukan dengan jabatan pendidikan daerah untuk menjadualkan semula aktiviti-aktiviti di luar bilik darjah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |