BANGKOK – Seorang lelaki warga Malaysia didakwa merakamkan video wanita Thailand melakukan perbuatan tidak senonoh dan memeras ugutnya untuk mendapatkan wang di Pattaya, lapor portal berita Thaiger hari ini.
Perbuatan yang dilakukan secara rahsia itu akhirnya terbongkar apabila anggota polis dan imigresen menyerbu sebuah kondominium pada pukul l2.30 pagi (waktu tempatan) semalam.
Serbuan dilakukan selepas mereka menerima aduan daripada seorang wanita yang mendakwa dia diperdaya melalui aplikasi WeChat oleh suspek yang berumur 24 tahun.
Suspek menyamar sebagai kenalan mesra wanita tersebut.
Wanita itu mendakwa dia dijemput ke bilik suspek di mana terdapat kamera tersembunyi merakamkan pertemuan intim mereka.
Suspek kemudian mengugut akan memuat naik video tersebut ke laman web pornografi jika dia enggan memberi wang kepadanya.
Pihak berkuasa merampas dua kamera mini tersembunyi, sebuah pemacu kilat, kad memori, pelbagai peranti elektronik dan dua telefon bimbit.
Pemeriksaan pada pemacu kilat menemui banyak video lucah yang dirakam selama beberapa tahun yang didakwa melibatkan berpuluh-puluh wanita Thailand.
Penyiasat percaya sesetengah mangsa membayar antara beberapa ratus hingga puluhan ribu baht untuk menghalang rakaman tersebut daripada didedahkan kepada umum.
Suspek mengaku menghasilkan video-video itu untuk tujuan pemerasan.
Menurut portal berita The Pattaya News, dia juga mengaku menggunakan kad kunci yang dicuri untuk memasuki sebuah kondominium di Jomtien sebagai pangkalan aktivitinya.
Suspek kini ditahan di Balai Polis Bandar Pattaya dan sedang menyiasat sama ada rakaman tersebut telah dikongsi di platform rahsia atau laman web gelap. – AGENSI