Lebih 3,000 pokok durian di Hutan Simpan Gunung Benum ditebang

1 week ago 11

RAUB – Lebih 3,000 pokok durian yang ditanam secara haram dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Benum, di sini ditebang dalam tempoh 18 hari Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Tanaman Durian yang dilaksanakan bermula 21 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Zainuddin Jamaluddin berkata, operasi penguatkuasaan bersepadu kali ini membabitkan kawasan Hutan Simpan Gunung Benum seluas 250 hektar yang mengambil masa secara berterusan selama dua bulan.

Menurutnya, selain memusnahkan tanaman durian pelbagai jenis seperti musang king, D24, IOI dan durian kampung turut ditebang ialah pokok petai, rambutan, manggis serta beberapa pokok buah-buahan lain yang berada dalam hutan simpan berkenaan.

“Sejak operasi penguatkuasaan dilakukan, kita tidak mendapat bantahan dan ancaman daripada pekebun, mereka seolah akur dengan tindakan jabatan yang bertindak tegas memusnahkan tanaman mereka yang terletak dalam kawasan hutan simpan.

“Kita telah mengedarkan notis pengosongan tanah penerokaan Hutan Simpan Gunung Benum tanpa kebenaran pada 18 Julai lalu, dengan menyatakan pihak yang bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 32, Akta Perhutanan Negara 1984 sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya, di sini hari ini.

Dalam pada itu Zainuddin berkata, operasi kali ini mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang turut melakukan aktiviti rondaan mengesan pihak yang menceroboh kawasan hutan simpan berkenaan 24 jam.

Zainuddin memberitahu, cabaran operasi kali ini ialah masalah untuk memasuki kawasan yang diceroboh kerana terpaksa melalui kawasan tanah milik yang berpagar dan berkunci.

“Mereka tidak memberi kerjasama hingga tindakan memotong kunci pagar terpaksa dilakukan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan kawasan Hutan Simpan Gunung Benum yang diceroboh terletak di belakang kawasan tanah milik, berbeza dengan kawasan pencerobohan hutan simpan dan tanah kerajaan yang lain daerah ini.

Katanya, pekebun tanah milik menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kehadiran pasukan operasi yang mana sebahagian mereka tidak memberi kerjasama untuk melalui kawasan kebun mereka dengan pelbagai alasan.

“Kebanyakan individu yang menceroboh Hutan Simpan Gunung Benum yang dijadikan kebun durian dan buah-buahan merupakan masyarakat setempat, mereka membuka kawasan berkenaan tanpa rasa bersalah dan bimbang dengan tindakan undang-undang.

“Sudah tiba masanya kita bertindak tegas dengan memusnahkan tanaman serta bangunan yang terdapat dalam hutan simpan di negeri ini, kita tidak boleh tunduk dengan pihak yang mengambil kesempatan meneroka hutan simpan dan tanah kerajaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |