Kuskop sasar lima peratus syarikat bersaiz sederhana

2 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyasarkan untuk meningkatkan bilangan firma bersaiz sederhana daripada 1.6 peratus sekarang kepada lima peratus dalam komposisi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menjelang tahun 2030.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, demi memastikan kelangsungan perniagaan jangka panjang, penskalaan perniagaan PMKS akan menjadi agenda utama dalam melonjakkan pertumbuhan mereka, sekali gus mewujudkan PMKS yang lebih berdaya tahan menghadapi sebarang kejutan masa depan.

“Beberapa inisiatif baharu telah dikenal pasti sebagai pemacu kepada agenda ini, termasuk meningkatkan penyertaan PMKS dalam aktiviti bernilai tambah tinggi, disruptive business models dan rantaian nilai global serta meningkatkan penyenaraian PKS.

“Hasil Tinjauan PMKS 2025 menunjukkan sejumlah 8.5 peratus firma telah memformalkan perniagaan mereka manakala 7.3 peratus PMKS berjaya diskalakan kepada entiti yang lebih besar. 

“PMKS yang berjaya menskalakan perniagaan didapati memiliki kelebihan daya saing yang tinggi, terlibat dalam industri berimpak tinggi, mengeksport ke pasaran antarabangsa, membekal kepada perniagaan dan firma bukan PMKS, serta menerapkan amalan ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) dalam operasi perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan prestasi PMKS bagi tahun 2024 di ibu pejabat SME Corp. hari ini.

Tahun lalu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) PMKS telah berkembang sebanyak 5.8 peratus kepada RM652.4 bilion, kekal mengatasi prestasi ekonomi negara yang berkembang sekitar 5.1 peratus dan bukan PMKS pada kadar 4.7 peratus.

Terdapat lebih 1.86 juta PMKS tahun lalu, merangkumi 96.1 peratus daripada jumlah perniagaan di Malaysia.

Sementara itu, Ewon menambah, pembangunan PMKS yang progresif terus menjadi keutamaan kerajaan dan ia menjadi salah satu game changer utama dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13.

“Kuskop sebagai kementerian bertanggungjawab dalam pembangunan usahawan dan koperasi, bersama-sama agensi di bawahnya akan terus komited dan lebih responsif dalam melipat gandakan usaha untuk memastikan ekosistem keusahawanan negara sentiasa ditambah baik,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |